Beliau tidak berhasrat untuk bersara dari arena politik dan isu-isu seperti peralihan kuasa dalam pucuk pimpinan PBS yang dibangkitkan akhir akhir ini hanyalah spekulasi semata-mata.
KOTA KINABALU: Walaupun usia beliau sudah menjangkau 71 tahun, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan masih belum terfikir untuk mengundurkan diri dari arena politik.
Katanya, beliau tidak berhasrat untuk bersara dari arena politik dan isu-isu seperti peralihan kuasa dalam pucuk pimpinan PBS yang dibangkitkan akhir akhir ini hanyalah spekulasi semata-mata.
Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah menegaskan bahawa isu seperti ini bukanlah perkara baru kerana ia sering disiarkan dalam media tempatan dan fakta mengenai isu ini juga tidak benar.
“Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh mendapatkan fakta ini kerana saya tidak pernah membuat apa-apa pengumuman secara umum mengenai proses peralihan kuasa ini.
“Pada pendapat saya, setiap parti politik dewasa ini sedang bekerja keras demi menjamin masa depan negara dan saya juga dinasihatkan bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk bersara,” kata beliau kepada pemberita di sini kelmarin.
Komitmen 100 peratus
Kata Pairin, beliau masih mampu untuk memberikan komitment 100 peratus kepada rakyat Sabah dan bersedia untuk mempertahankan jawatannya yang disandang beliau sejak penubuhan PBS dalam tahun 1984 lagi.
“Namun, segalanya terserah kepada ahli dalam parti yang menentukan kedudukan saya dalam PBS, tambah beliau.
Pairin juga mengatakan bahawa hubungan beliau dengan Timbalan Presiden PBS, Maximus Ongkili adalah sangat baik.
“Maximus adalah rakan sekerja dalam PBS, beliau adalah timbalan saya, beliau juga berpengalaman dalam parti seperti saya dan masing-masing tahu kekuatan dan kelemahan kami. Kami dalam parti sudah bersedia menghadapi apa-apa sahaja.
“Perpaduan dan persefahaman dalam parti adalah sangat baik dan semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam usaha membantu kerajaan Barisan Nasional dalam semua sudut,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai siapa yang layak menggantikan beliau, Pairin meletakan tanggungjawab ini kepada ahli dalam parti. Sesiapa sahaja yang dipilih menerajui PBS, dia haruslah sudah bersedia.
Bagaimanapun, Pairin tidak menyangkal kemungkinan beliau akan mempertahan satu dari dua kerusi – Kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan dan kerusi Parlimen Keningau – yang disandangnya sejak 35 tahun, pada pilihan raya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan