Khamis, 2 Jun 2011

Nik Aziz: Saya ada pilihan sendiri tapi tak mahu dedah elak kecoh


SHAH ALAM — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai pilihannya sendiri berhubung calon yang sesuai untuk dipilih pada pemilihan parti itu kali ini.

Pemilihan ketiga-tiga sayap berlangsung hari ini manakala peringkat pusat sempena muktamar yang bermula esok.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, walau siapa pun pilihannya, semua keputusan terletak pada tangan perwakilan untuk menentukan pemenang.

“Saya ada pilihan saya. Tapi tak bolehlah beritahu pada orang lain. Kalau saya beritahu kecohlah nanti,” kata beliaua pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS 2011 di sini hari ini.

Pemilihan kali ini tumpuan beralih kepada timbalan presiden yang menyaksikan saingan tiga penjuru manakala naib presiden pula disaingi enam calon.

Calon yang akan bertanding jawatan nombor dua parti adalah penyandangnya Nasharudin Mat Isa, yang dicabar Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, tiga kerusi naib presiden ditandingi Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang masing-masing merupakan penyandang jawatan, dua Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Abdullah, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Ketua Penerangan Idris Ahmad.

Jawatan ketua Dewan Muslimat disaingi Nuridah Salleh dan Siti Zailah Yusoff manakala Nasrudin Hassan mengekalkan kedudukannya.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengekalkan jawatannya.

Menjawab soalan mengenai pemberian ruang kepada Muslimat bertanding pada pilihan raya akan datang, Nik Aziz berkata, semua keputusan terletak pada jawatankuasa pilihan raya.

“Terletak pada parti. Kita akan bagi ruang kepada orang yang ada bakat, aktif dan kita lihat penampilan diri dia.

“Bilangan kerusi akan ditambah atau tidak, itu terletak pada mesyuarat,” katanya.

Tiada ulasan: