Jumaat, 10 Jun 2011

MerdekaReview, kini media yang dimiliki wartawan

MerdekaReview

Syarikat Knowledge Venture Sdn Bhd yang memiliki MerdekaReview, kini melepaskan semua saham pegangannya kepada staf MerdekaReview. Seiring dengan perkembangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ngeow Yin Ngee bersama Ketua Pengarang Chang Teck Peng, mengumumkan perletakan jawatan. Pemangku Ketua Pengarang merangkap Editor MerdekaReview edisi bahasa Cina, Chan Wei See, secara rasmi mengambil alih jawatan Ketua Pengarang.

Dalam satu mesyuarat bersama staf MerdekaReview pada petang semalam, Ngeow Yin Ngee bersama Chang Teck Peng membuat pengumuman di atas. Lantaran daripada itu, staf MerdekaReview kini memiliki saham syarikat Knowledge Venture Sdn Bhd.

Dari stukturnya, Knowledge Venture Sdn Bhd memiliki syarikat Merdeka Review Sdn Bhd, dan media internet MerdekaReview adalah produk di bawah syarikat MerdekaReview Sdn Bhd. Susulan daripada pertukaran tangan saham ini, MerdekaReview telah memasuki fasa baru dengan pimpinan generasi keduanya.

Ngeow Yin Ngee (gambar bawah, kanan) memulakan MerdekaReview pada tahun 2005, menggalas tugas mengumpul dana untuk menampung operasi MerdekaReview. Selaku CEO, Ngeow Yin Ngee menghormati autonomi editorial, mengotai janjinya untuk tidak mencampur tangan dalam bilik editorial.

Chang Teck Peng (gambar kiri, kiri) pula dilantik sebagai Ketua Pengarang MerdekaReview sejak 1 Jun 2005, memikul beban untuk merangka dan menubuhkan media internet ini, di samping membentuk pasukan yang sedia ada. Knowledge Venture merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap sumbangan Ngeow dan Chang sepanjang enam tahun ini.

Chan Wei See Ketua Pengarang baru

Editor MerdekaReview edisi bahasa Cina, Chan Wei See yang sebelum ini memangku jawatan Ketua Pengarang, kini mengambil alih tampuk pimpinan sebagai Ketua Pengarang MerdekaReview secara rasmi.

Chan Wei See (gambar kanan), wartawan yang menyertai MerdekaReview sejak Julai 2005, adalah pelopor MerdekaReview. Beliau dinaikkan pangkat sebagai penolong Editor pada 1 Januari 2008, dan Editor edisi bahasa Cina pada 1 Julai 2009, berikutan prestasinya yang terserlah. Chan Wei See kemudian memangku jawatan Ketua Pengarang setelah Chang Teck Peng melanjutkan pengajian ke luar negeri.

MerdekaReview dimulakan dengan edisi bahasa Cina pada 10 Ogos 2005, dan dilancarkan pada 31 Ogos 2005. Edisi bahasa Malaysia-nya dimulakan pada Julai 2009. Kini, MerdekaReview edisi bahasa Cina menduduki ranking keempat dalam laman media bahasa Cina dalam Malaysia.

Penaja MerdekaReview berhenti untuk menyuntik dana pada pertengahan Mei 2011, mencetuskan krisis kelangsungan MerdekaReview. Staf MerdekaReview melancarkan operasi untuk "Selamatkan MerdekaReview" pada 19 Mei 2011, menyeru agar pembaca menderma untuk melanjutkan hayat MerdekaReview untuk sekurang-kurangnya enam bulan - supaya kami mempunyai masa yang mencukupi untuk menstruktur semula MerdekaReview, dan mencari pelabur baru.

MerdekaReview bakal beroperasi dengan model komersial pada masa depan setelah staf mengambil alih syarikat Knowledge Venture. Selaras dengan perkembangan terbaru, Knowledge Venture berniat untuk melepaskan 49% saham daripada syarikat MerdekaReview kepada pelabur yang sehaluan dengan idealisme MerdekaReview, untuk bersama menggerakkan perkembangan media internet tanahair.

Tiada ulasan: