Khamis, 9 Jun 2011

Mashitah: Suami jangan hanya anggap isteri ‘pelacur terhormat’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim menyelar segelintir suami yang menjadikan isteri semata-mata tempat melepaskan nafsu seks tanpa memikirkan kepentingan hidup berkeluarga.

Mashitah berkata, perkahwinan yang digalakkan oleh Islam adalah untuk menjamin keutuhan hidup suami isteri dan membentuk keluarga yang bahagia dengan kedua-dua suami isteri sama-sama memegang tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak.

“Justeru jangan ada di kalangan suami yang cuba mengabui pemahaman isteri kononnya satu pengorbanan bagi mereka dengan jaminan masuk syurga jika membenarkan suami berkahwin lain,” katanya di Kangar semalam.

Mashitah yang dijemput sebagai salah seorang ahli panel Simposium Wanita peringkat Perlis berkata, adalah tidak wajar seseorang suami meletakkan isteri mereka sebagai ‘pelacur terhormat’ sedangkan taat setia tidak boleh diletakkan kepada isteri sahaja sebaliknya suami juga perlu mempunyai sikap taat setia kepada isteri mereka.

Dipetik Bernama Online, beliau menyifatkan perbuatan sedemikian tidak boleh dibiarkan kerana isteri akan terus teraniaya sedangkan apa yang lebih penting adalah jaminan masa depan keluarga dan anak-anak, bukan semata-mata memuaskan nafsu seks seseorang suami.

“Dalam rumah tangga memang menjadi tanggungjawab isteri melayan suami tetapi jangan pula seseorang suami mengambil kesempatan daripada layanan baik isteri mereka hingga sanggup mempergunakan isteri tersebut untuk memuaskan hawa nafsu sendiri,” ujarnya.

Tiada ulasan: