Selasa, 21 Jun 2011

MAP gesa semua pihak jayakan himpunan Bersih 2.0

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Memacu Arus Perjuangan (MAP) menggesa semua pihak supaya sama-sama menjayakan perhimpunan aman Bersih 2.0 akan diadakan pada 9 Julai nanti.

Timbalan Presiden MAP, Zulkifly Ibrahim menyatakan bahawa perhimpunan aman adalah dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia.

Dengan merujuk kepada perhimpunan Bersih 1 sebelum ini, tiada berlaku kekecohan dan menganggu ketenteraman awam sebaliknya perhimpunan tersebut berjalan dengan baik dan akhirnya memorandum tersebut berjaya diserahkan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“Kepada pihak berkuasa, terutama PDRM, yang menguatkuasakan undang-undang, hendaklah menghormati dan melaksanakan seksyen 27 Akta Polis, mengawal selia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang bertujuan menjayakan objektif kebebasan bersuara dan bukannya menghalang kebebasan tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, adalah tidak wajar Timbalan Ketua Polis Negara mengugut warga negara Malaysia dengan membuat tangkapan sekiranya perhimpunan Bersih 2.0 dilangsungkan.

Katanya, Perkara 10 dalam Perlembagaan jelas menunjukkan jaminan terhadap hak asasi warganegara untuk berhimpunan secara aman.

Mengulas pandangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bersedia mengadakan pertemuan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), katanya ia sangat dialu-alukan.

Justeru, ujarnya tuntutan Bersih 2.0 terhadap lapan perkara untuk memastikan pilihan raya telus dan bersih tanpa sebarang penyelewengan, iaitu membersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, guna dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor hendaklah diterima.

“Tuntutan ini sebenarya sudah disuarakan sejak sekian lama. Oleh kerana SPR tidak menghiraukan tuntutan ini, Bersih melanjutkan perhimpunan ini sebagai manifestasi kegagalan SPR melaksanakan proses demokrasi di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, MAP katanya menyelar sikap Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mengerahkan ahlinya untuk menghalang perhimpunan Bersih.

“Ini adalah satu agenda untuk membuat kekacauan di negara ini,” katanya.

Katanya, amaran yang disuarakan Ibrahim supaya masyarakat Cina menyediakan stok makanan bagi menghadapi perhimpunan Bersih 2.0 merupakan kenyataan bersifat perkauman, menghasut dan berbahaya.

Beliau turut bersetuju dengan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno supaya tindakan perlu dikenakan ke atas Ibrahim kerana amaran tersebut jelas merupakan satu ancaman kepada negara.

Katanya, Ibrahim perlu disiasat di bawah Akta Hasutan 1949 kerana sebelum ini banyak kenyataannya terlalu berbaur perkauman yang tinggi.

“Kenyataan dan tindakan ini jelas menimbulkan satu ancaman kepada keselamatan negara,” katanya lagi.

Menurutnya, Ibrahim dan pengikutnya sepatutnya menyertai perhimpunan Bersih 2.0 nanti.

Tambahnya, MAP menyaran Perkasa belajar memahami Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perhimpunan dan kebebasan bersuara.

Beliau menambah, tindakan Pemuda Umno pula kononnya mempertahan SPR merupakan suatu tindakan yang dangkal.

Katanya, Pemuda Umno jangan terus mewarisi sikap pemimpin dan ahli-ahli Umno yang sentiasa mempertahankan kemungkaran dan penyelewengan.

“Sebaliknya Khairy dan pemuda Umno hendaklah menunjukkan sikap yang berani menegur kelemahan kerajaan termasuk SPR sekiranya pemuda Umno berhasrat menjadi pemimpin pelapis di negara ini,” katanya.

Kepada semua NGO yang membuat laporan polis untuk menyekat perhimpunan Bersih 2.0 hendaklah mempunyai kematangan dalam tindakan tersebut.

Katanya, NGO-NGO berkenaan jangan menjadi budak suruhan kepada Umno dan pemerintah sebaliknya secara terbuka mereka wajar menghormati hak asasi warga negara Malaysia untuk berhimpun secara aman.

“Semua pihak diseru supaya menjayakan perhimpunan Bersih 2.0 ini dengan semangat muafakat dan menunjukkan sikap bertamadun demi rakyat dan kelangsungan maruah negara di mata dunia,” katanya.

Tiada ulasan: