KUALA LUMPUR — Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menerima rakaman video seks, yang didedahkan “Datuk T” mendakwa si pelakunya Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi pos semalam.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata satu salinan DVD dihantar ke rumahnya semalam.
Sehubungan itu kata beliau, DVD rakaman video seks yang memfitnah Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, diedarkan di seluruh negara.
“Polis seharusnya boleh mengesan dalang (melakukan perkara ini). Tetapi sehingga kini tiada hasil siasatan terhadap laporan polis mengenai pengedaran VCD lucah ini,” kata Zuraida (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
“Lebih buruk, saya sendiri menerima DVD dan risalah berbaur fitnah yang dihantar ke rumah saya semalam. Sampul surat yang mengandungi surat yang menggunakan kepala surat PAS yang palsu, dan satu VCD bertajuk ‘Skandal Seks Mat Sabu’ dan risalah-risalah yang menggambarkan beberapa sedutan DVD lucah, yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau sambil menegaskan, budaya politik kotor sudah muncul di bahagian yang diwakilinya.
Rakaman video itu buat pertama kali dipertontonkan kepada umum pada 21 Mac lalu oleh “Datuk T” di hotel Carcosa Seri Negara di sini.
Dua hari kemudian tiga “Datuk T” iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim muncul di khalayak sambil mengaku mereka yang bertanggungjawab atas pengedarannya.
Beberapa hari kemudian mereka menyerahkan salinan asal rakaman video itu kepada polis.
“Susulan laporan polis saya hari ini, saya meminta polis segera menyiasat perkara ini. Ini kerana apa yang berlaku sekarang adalah jelas bermotifkan politik dan mungkin disebabkan arahan dan pembabitan penguruasan atasan,” kata wakil rakyat penggal pertama itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan