Jumaat, 10 Jun 2011

Kes Aminulrasyid: Mahkamah tolak laporan polis Jenain


SHAH ALAM — Laporan polis Koperal Jenain Subi tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan kes Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati awal tahun lalu, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Dalam keputusannya, Hakim Latifah Mohd Tahar berkata pihak pendakwa seharusnya telah mengemukakan laporan itu sebelum bermulanya perbicaraan, bukannya sekarang.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwa tidak mematuhi Seksyen 51(a) (Kanun Keseksaan)... pihak pendakwa seharusnya telah mengemukakan kesemua dokumen agar pihak pembela tahu apa yang akan digunakan terhadap tertuduh,” kata hakim.

Bulan lalu, pihak pendakwa mengambil langkah untuk mengemukakan laporan polis Jenain (gambar) sebagai bahan bukti, yang dibuat selepas remaja itu ditembak mati, untuk menunjukkan percanggahan keterangan dan mendakwanya.

Peguam M. Athimulan, yang mewakili Jenain yang dituduh membunuh Aminulrasyid berusia 14 tahun, berhujah bahawa tindakan pihak pendakwa menafikan perbicaraan yang adil bagi anggota polis itu.

Perbicaraan itu akan diteruskan hari ini dengan pemeriksaan balas ke atas Jenain.

Tiada ulasan: