SELAYANG : Persatuan Pembeli Rumah Malaysia (HBA) mencadangkan konsep ‘Buat dan Jual 10:90′ (BTS 10:90) kepada kerajaan Selangor dalam membantu menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai.
Cadangan alternatif HBA itu menyatakan, penyelesaian dibuat dengan cara pembayaran 10 peratus harga rumah oleh pembeli, manakala bakinya dijelaskan selepas rumah tersebut siap dan mendapat sijil layak menduduki (CF).
“Kerajaan Selangor mempunyai kuasa ke atas tanah dan PBT pula boleh beri kelulusan. Jika mereka keluarkan arahan, pemaju terpaksa ikut,” kata Setiausaha Agung HBA, Chang Kim Loong selepas membentangkan kertas kerja di Wacana Ekonomi Visi Perumahan Rakyat di sini hari ini.
“Kami mencadangkan kerajaan Selangor memulakan projek ini dengan disokong oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), anak ayarikat kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.
“Dengan itu pemaju dapat perlahan-lahan menyerap idea ini. Mungkin tahun depan 10 peratus penyertaan program ini. Pada 2013, 30 peratus dan seterusnya sehingga dapat diimplementasi sepenuhnya pada 2015 nanti,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Kehormat HBA Brigadier General (B) Datuk Goh Seng Toh menyatakan, BTS 10:90 merupakan alternatif kepada pendekatan ‘Jual dan Buat’ yang digunapakai di negara ini
Kaedah ‘Jual dan Bina mengehendaki pembeli membayar penuh kepada pemaju sebelum rumah dibina. Konsep ini dianggap tidak adil dan berat sebelah kerana pembeli akan menanggung kerugian termasuk pinjaman bank jika projek perumahan mereka terbengkalai.
“Yang berlaku sekarang ialah pemaju buat rumah guna duit pembeli. Kami tak mahu itu berlaku. Kami mahu bank pinjamkan duit terus kepada pemaju.
Kemudian pembeli bayar baki 90 peratus harga rumah dengan pinjaman bank mereka sendiri atau wang simpanan.
“Kita tak mahu cerita rumah dibina guna duit pembeli. Kalau terbengkalai yang pertama akan hadapi masalah undang-undang dari bank dan kewangan ialah pembeli,” terang Goh yang menolak dakwaan harga rumah akan meningkat jika sistem ini diimplementasi.
Menurutnya pemaju akan lebih berhati-hati dan meningkatkan kualiti mereka kerana pembeli berpeluang untuk menilai dan membuat keputusan sebaiknya sebelum berpindah masuk.
“Untuk menarik perhatian pembeli untuk beli rumah secepat mungkin, pemaju akan tawarkan harga yang kompetetif. Jika mereka berikan harga tinggi sangat rumah takkan terjual. Ini yang bagus mengenai BTS 10: 90 ini,” katanya.
Program Wacana Ekonomi ini dihadiri oleh Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri serta wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membincangkan mengenai dasar perumahan Kerajaan Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan