Selasa, 21 Jun 2011

Emolumen guru, doktor tertinggal dalam belanjawan 2011

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.01 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan tambahan berjumlah RM 13.2 bilion digunakan bagi menampung kekurangan emolumen pada tahun 2011 untuk pegawai perubatan pelbagai gred dan skim.

Ia termasuk RM1.3 bilion emolumen yang sepatutnya dibayar untuk kakitangan awam di bawah kementerian pelajaran iaitu untuk guru serta kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Diploma.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Perbahasan Belanjawan Tambahan Pertama 2011 di parlimen hari ini.

“Peningkatan perbelanjaan belanjawan berlaku akibat dari tindak balas pergerakan harga komoditi yang buruk. Namun yang dimusykilkan adalah peningkatan sebanyak 5 peratus emolumen sedangkan ianya sepatutnya mudah untuk diunjurkan.

“Apakah muslihat meninggalkan peruntukan emolumen yang wajib dimasukkan,” ujar Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Menurutnya, beliau khuatir kegagalan membuat unjuran yang tepat, tidak berupaya menjelaskan perbelanjaan belanjawan dan kelemahan mengurus ekonomi akan meletakkan negara dalam keadaan sukar.

“Kita perlu mengambil iktibar dari kegagalan negara akibat kecuaian pengurusan malah juga memutarbelitkan angka petunjuk ekonomi seperti mana berlaku di Greece,” tegas Anwar.

Menurutnya, belanjawan tambahan itu juga mewakili peningkatan 8.2 peratus daripada belanjawan asal 2011 sebanyak RM162.8 billion, selepas hanya tiga bulan pusingan belanjawan tahun ini selesai.

Justeru itu katanya, tidak mustahil menjelang akhir tahun ini, peningkatan belanjawan kemungkinan mencecah 15 peratus.

“Ini menimbulkan suatu tanda tanya berhubung keupayaan kerajaan untuk merangka belanjawan negara, yakni salah satu tugas asas mengurus ekonomi negara selain memunculkan persoalan terhadap keupayaan mereka untuk membuat unjuran, penjelasan atau bertanggungjawab dan mengurus perbelanjaan yang telah diluluskan dalam Dewan Yang Mulia ini,” kata Anwar.

Di bawah peruntukan mengurus bagi bajet 2011, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenakan Bayaran Tetap, RM1.4 bilion untuk Pembelian Aset dan RM1.2 bilion lagi bagi perbelanjaan lain

Tiada ulasan: