Ahad, 19 Jun 2011

Bersih 2.0: PKR gesa Putrajaya tunjuk sikap terbuka

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Menjelang pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara malam esok, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa pentadbiran Najib menunjukkan sedikit keterbukaan dan prihatin dengan hak dan kebajikan rakyat agar kempen itu dapat diadakan awal bulan itu.

Kata beliau, keputusan bijak adalah dengan memberi ruang agar Himpunan Bersih 2.0 dapat berjalan dengan baik dan aman kerana ia akan mempercepatkan proses kematangan dalam masyarakat untuk menangani pendapat dan pendekatan yang berbeza.

“Kematangan ini adalah kunci kepada potensi masyarakat kita di hari-hari akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, Dr Wan Azizah (gambar) berkata, PKR amat mengesali sikap antagonisme pihak berkuasa terhadap perhimpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai.

“Kenyataan-kenyataan keras yang berbaur ugutan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi Kementerian Dalam Negeri mengesahkan bahawa Barisan Nasional tidak akan memberi ruang kepada tuntutan rakyat untuk bersuara dan berhimpun,” kata beliau.

Hakikatnya, jelas Dr Wan Azizah, Himpunan Bersih 2.0 bukan menjaguhi dan menangani isu hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun semata-mata.

“Persoalan pokok yang dibawa oleh Himpunan Bersih adalah kejujuran dan kebebasan sistem pilihan raya di negara ini, yang menjadi asas sebarang usaha untuk menambah baik kedudukan masyarakat secara ekonomi mahupun sosial,” katanya lagi.

Beliau menambah, ruang dan hak rakyat untuk memilih wakilnya secara bebas dan tanpa manipulasi adalah aspek integriti politik terpenting yang dituntut oleh rakyat mutakhir ini.

“Justeru, PKR menganggap Himpunan Bersih sebagai satu keperluan untuk memangkin keterbukaan masyarakat kita.

“Perhimpuan Bersih sebenarnya akan menguji pendokong dan penentangnya – di pihak pendokong, ia akan menguji kesepakatan mereka menuntut sistem pilihan raya yang lebih adil dan telus; pihak penentang pula perlu membuktikan kesediaan mereka untuk menjadi lebih terbuka dan bertolak ansur,” katanya lagi.

Oleh itu, kata Dr Wan Azizah, adalah menjadi tanggungjawab penganjur dan peserta perhimpunan Bersih untuk mengelak dari sebarang konfrontasi akibat dari cubaan provokasi pihak-pihak yang bertujuan mewujudkan kacau bilau.

“Saya menyeru supaya penganjuran perhimpunan ini mengambil kira langkah-langkah segera yang boleh diambil oleh peserta untuk mengurangkan ketegangan jika wujud provokasi.

“Peserta juga wajar mengetahui selok-belok mengenai amalan berhimpun secara aman dan melengkapkan diri dengan pengetahuan keselamatan sebelum menyertai perhimpunan,” katanya.

Bekas ketua pembangkang di Parlimen ini juga berkata di pihak berkuasa, “saya terus berharap mereka menyambut baik tawaran penganjur untuk bekerjasama” bagi menjamin perhimpunan berjalan lancar.

“PDRM mestilah menjamin keselamatan peserta dan bertindak secara profesional untuk mengelakkan sebarang cubaan menimbulkan provokasi atau kekacauan oleh mana-mana pihak pun,” katanya.

Tiada ulasan: