KUALA LUMPUR: Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap perancang perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bukan penyelesaian terbaik, malah akan mengundang lebih banyak kemarahan rakyat, tegas Pengerusi Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Datuk Seri Aziz Abdul Rahman yang menyarankan polis bertindak tegas, termasuk menggunakan ISA untuk menyekat perhimpunan itu.
“ISA tidak memberikan jalan penyelesaian, sebaliknya menimbulkan kemarahan rakyat jika mereka (polis) menahan peserta di bawah ISA. Mubarak sendiri mesti faham apa itu ISA, saya rasa jika mereka tahu akta itu, tidak mungkin mereka mahu cadangkannya.
“Bagaimana Mubarak boleh ramal kekecohan akan berlaku sedangkan perhimpunan tersebut belum lagi bermula. ISA adalah satu akta yang zalim dan tidak bertamadun,” kata Syed Ibrahim ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak jika polis dan kerajaan akan menangkap pihak yang terlibat dalam menganjur dan menyertai perhimpunan aman itu secara besar-besaran.
Ia katanya, berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkan pihak polis dan menteri sebelum ini.
“Kita tidak boleh ramal, tapi saya percaya polis dan kerajaan akan cari sebab untuk menangkap peserta demo selain memudahkan mereka menggunakan ISA ke atas tangkapan.
“Jangan kerana satu sebab mereka berhimpun, negara akan dicerminkan sebagai tidak bertamadun dengan menggunakan akta ISA. Kerajaan mesti sedar akan dasar demokrasi yang diamalkan Malaysia,” ujarnya.
Katanya, penggunaan ISA dalam setiap perhimpunan bukan sahaja merugikan negara dan kerajaan tetapi melambangkan dasar negara menolak kepada sistem demokrasi.
“Saya tegaskan bahawa penggunaan ISA akan merugikan, mereka sepatutnya kembalikan kepada perkara asas yang menjunjung keadilan, kebenaran dan hak-hak rakyat,” ujarnya.
Dilaporkan sebelum ini Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar menyatakan polis akan mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan pencegahan sekiranya perlu, sebelum dan semasa perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual berlangsung pada 9 Julai depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan