TERINGAT kembali peristiwa yang agak menggembirakan kepada para penyokong BN/UMNO pada tahun 2010, apabila Bank Pertanian Malaysia menyarankan penduduk di setiap pelusuk daerah di seluruh negara yang layak, supaya mengisi borang untuk mendapatkan bantuan berupa beras subsidi iaitu ‘Beras Nasional’.
Di daerah Sandakan, khususnya penduduk Taman Mesra, 70 peratus mereka adalah penyokong kuat parti Barisan Nasional yang membabitkan UMNO, PBS, GERAKAN, UPKO dan LDP lantas mengisi borang yang dimaksudkan dengan harapan untuk mendapatkan bantuan tersebut ; namun sebaliknya tidak menjadi kenyataan, malahan menjadi tanda tanya iaitu, “Di mana sudah beras itu disorok?”
Daripada siasatan Sabahkini.Net, beberapa orang penyokong UMNO/BN mengaku pernah mengisi borang tersebut yang disahkan oleh pegawai kanan kerajaan dan telah menyerahkan sendiri borang tersebut kepada pihak yang berkaitan.
“Setakat 10 kilogram beras subsidi nasional, kami masih mampu membelinya, tapi kalau ada pemberian secara percuma daripada kerajaan lebih bagus lagi. Sekurang-kurangnya RM20 untuk membeli beras tersebut dapat juga digunakan perbelanjaan lain,” jelas seorang penduduk Taman Mesra, Awang Jumat.
Sementara seorang Aktivis Masyarakat dari Kota Kinabalu yang berasal dari Kampung Sarang, Kota Belud, Madili Jakir yang menghubungi Sabahkini.Net juga mengajukan soalan yang sama iaitu ingin tahu adakah program tersebut benar-benar dilaksanakan atau sekadar madah berhelah untuk memancing undi rakyat?
Katanya, senario di kampungnya serupa kerana sebaik sahaja mereka tahu ada bantuan seumpama itu, mereka rasa terharu; sekurang-kurangnya bagi mereka yang berpendapatan rendah di bawah RM500 sebulan dan mempunyai keluarga merasa gembira jika mendapat bantuan beras tersebut.
“Tetapi semua impian kami hanya tinggal harapan yang tidak menjadi kenyataan. Kami benar-benar kecewa kerana dipermainkan, kata Midili sebagai mengulas kenyataan yang dibuat oleh seorang penduduk Kampung Pinangkau, Paitan Sugut; Johanies Tayoh yang tersiar di Sabahkini.Net baru-baru ini bertajuk ‘Desak SPRM Siasat Sindiket Beras Nasional.’
“Apabila saya terbaca berita tersebut di Sabahkini.net, lalu teringat kembali mengenai bantuan beras subsidi yang dijanjikan agensi kerajaan setahun lalu,” ujar Madili.
Tegas Madili, rakyat miskin bukannya bencikan BN/UMNO tetapi jangan terlalu ghairah membuat sesuatu program kalau tidak pasti dan bersungguh-sungguh untuk melaksakannya kerana rakyat yang akan menjadi mangsa mainan politik pemimpin beragenda.
Ahad, 5 Jun 2011
Apa Jadi Dengan Beras Nasional?
Oleh : SHAIMON S JUMADI (sabahkini)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan