MENGIKUT keterangan jurucakap polis Datuk T atau Trio Umno, kumpulan terdiri dari tiga orang yang mengedarkan video lucah yang dikatakan mengaitkan ketua pembangkang akan didakwa kerana mengedar dan menayangkan klip terlarang dan terkutuk itu.
Kenyataan awal polis bagaimana pun terserah kepada Peguam Negara. Kuasa polis hanya menyiasat dan kuasa mendakwa ialah Jabatan Peguam Negara.
Tetapi polis yang membuat kenyataan itu dipercayai sudah puas hati kumpulan tiga orang itu sudah boleh didakwa.Ia suatu yang dinanti-nanti oleh semua orang.
Ada pun siapa sebenarnya menjadi pelakun dalam video itu adalah perkara lain yang boleh ditentukan kemudian. Tetapi yang ternyata salah ialah orang yang mengedarkan video lucah. Ketiga-tiganya belum boleh dikatakan salah kerana ia akan ditentukan oleh mahkamah. Didakwa atau tidak bergantung kepada Jabatan Peguam Negara.
Seperti kejadian Saidina Umar al-Khatab menyerbu sebuah rumah yang disyaki dan dipastikannya berlaku maksiat. Dia menyerbut ikut tingkap bagi menangkap orang yang disyaki.
Khalifah tidak meneruskan tangkapan kerana tuan rumah mendakwa khalifah melakukan tiga kesalahan untuk menangkapnya iaitu masuk ke dalam rumahnya ikut tingkap – tidak ikut pintu, mengintip ketenangan dalam rumahnya dan masuk rumahnya tanya izinnya dulu.
Kesalahan tuan rumah yang cuba ditangkap adalah perkara kedua, tetapi kesilapan khalifah perlu diselesaikan dulu.
Dalam kejadian video lucah itu pemilik, pengedar tayang dan penontonnya atas apa jua sebab perlu ditangani dulu. Jika semuanya disabitkan sebagai fitnah, maka punca fitnah itu perlu didahulukan.
Selain dari wayang haram itu telah memfitnah ketua pembangkang dan keluarganya, ia boleh memalu dan memfitnah keluarga tiga kumpulan itu yang sudah pun mengaku berterang-terangan menayangkannya.
Di antara tiga itu yang dikenali dan dihormati dalam masyarakat sekarang ialah keluarga seorang menteri kerana dia adalah bapa mertua kepada menteri itu.
Menteri itu, isterinya iaitu anak dari salah seorang kumpulan tiga orang itu dan anak-anak menteri itu yang masih bersekolah telah tahu kegiatan orang tua itu.
Menonton video itu saja sudah melanggar undang-undang. Menyimpan atau memilikinya juga melanggar kesalahan lagi dan menayangkan kepada orang lain adalah lebih salah lagi.
Ia boleh memalukan menteri itu kerana bapa mertuanya terlibat. Ia boleh memalukan isteri menteri itu atas kegiatan si ayah. Anak-anak menteri itu yang sudah tahu erti malu mengetahui pula tentang datuk mereka menengok video yang tidak patut ditengok oleh orang awam baik beragama apa sekali pun.
Jika kawan-kawannya di sekolah tahu yang dia adalah datuk mereka, maka apa pula komen mereka tentang si datuk itu dan bagaimana kalau mereka bertanya pula dari anak menteri itu tentang datuknya?
Maka semuanya sekarang telah tahu tentang datuk anak-anak menteri itu.
Semua tahu akan kesan saikologi yang dihadapi oleh anak-anak seorang anggota kabinet 30 tahun lalu atas kes yang dihadapi olehnya. Sejak kes itu ditahan, dibicarakan, dihukum dengan diringan dipenjara saja, menyebabkan anak-anaknya di sekolah tertekan untuk menghadapi rakan-rakannya.
Rakan-rakannya bertanya tentang setiap perkembangan dalam kes itu hingga anak-anak itu tahu bagaimana hendak menghadapinya.
Ia menjadi pengajaran kepada semua tentang masalah yang dihadapi oleh keluarga menteri itu dulu. Dan kini keluarga seorang menteri lagi menghadapi kesan fitnah juga.
Sama ada datuk trio itu didakwa atau tidak, keluarga masing-masing sudah pun berdepan dengan kesan dan tekanan jiwa.
Ketiga-tiganya mesti berdepan dengan tindakan undang-undang supaya masing-masing mendapat pengajaran daripadanya dan supaya kesalahan undang-undang itu tidak dilakukan oleh orang lain pula. Dakwaan itu bukan dibuat sekadar memenuhi desakan orang tetapi dibuat kerana undang-undang memperuntukkannya begitu.
Semua menunggu perkembangan selanjutnya setelah jurucakap polis menyatakan mereka sedang menunggu keputusan Peguam Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan