TANJUNG KARANG : Sistem pendidikan Islam perlu diperkukuhkan dalam menghadapi cabaran globalisasi selain memastikan penguasaan generasi muda dalam subjek Sains dan Teknologi, Matematik, Sejarah dan Bahasa tidak dikesampingkan.
Oleh yang demikian titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, adalah penting untuk memantapkan institusi-institusi sekolah yang berteraskan agama bagi melahirkan generasi Islam yang kukuh pegangan agama serta berilmu pengetahuan tinggi.
“Beta percaya melalui pendidikan berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah, ianya mampu melahirkan generasi Islam yang sejahtera dan kukuh imannya yang mana masyarakatnya akan maju dari segi material dan fizikal. Begitu juga maju dalam nilai kerohanian, akhlak, peradaban dan kemanusiaaan," titah Tuanku.
Pagi tadi, Sultan Sharafuddin berkenan mencemar duli ke majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Tengi Kanan Darat, di sini, hari ini.
Dalam titahnya, Baginda mengingatkan golongan pendidik supaya memainkan peranan aktif untuk melahirkan insan berakhlak dalam menyumbang ilmu dan pengalaman mereka kepada generasi muda negara.
“Sebagai usaha berterusan untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan kita harus terus aktif memainkan peranan masing-masing mempertingkatkan kualiti diri dan produktiviti,” titahnya.
Turut hadir pada majlis perasmian pagi tadi, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hassan Ali dan Dr Halimah Ali, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Khusrin Munawi serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Marzuki Hussin.
Baginda juga menyatakan kesyukurannya kerana sistem pendidikan Islam berkembang baik di Selangor dan yakin sistem tersebut dapat melahirkan generasi yang seimbang dunia dan akhirat.
Titahnya, mereka yang mampu membaca Al-Quran dengan baik, memahami isi kandungannya dan sentiasa melaksanakan amalan-amalan menurut ajaran Al-Quran dan AS-Sunnah selaras dengan pembangunan semasa, pasti tidak akan ketinggalan dalam menguasai ilmu keduniaan.
“Bagi beta sistem pendidikan Islam ini adalah warisan yang perlu dipertahankan dan dipertingkatkan ke arah memenuhi hasrat negeri dan negara pada masa hadapan,” titahnya.
Jumaat, 8 April 2011
Sultan Selangor Mahu Institusi Sekolah Berteraskan Agama Dimantapkan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan