KEPUTUSAN Pilihanraya Negeri Sarawak sudah cukup memadai untuk menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat perlu lebih berani dan tegas di dalam merealisasikan cita-cita mewujudkan ketelusan demokrasi di negara ini. Banyak kali disuarakan tentang betapa pincangnya demokrasi di negara ini yang diterajui oleh SPR, namun kita terus mengharapkan keajaiban berlaku terhadap negara ini.
Mahu tidak mahu kita mesti menerima keputusan di Sarawak yang menunjukkan bahawa walaupun majoriti rakyat Sarawak mahu kepada perubahan, tetapi kerana ketidaktegasan kita terhadap kepincangan demokrasi terutamanya oleh SPR maka sekali lagi harapan rakyat Sarawak tidak tercapai. Adakah kita menyalahkan 100% kepada SPR terhadap kegagalan kita untuk menjadi kerajaan di Sarawak? Atau, kita akur bahawa SPR sememangnya berlaku adil dan telus memandangkan kita berjaya menjadi kerajaan di Kelantan, P.Pinang, Selangor, Kedah, dan Perak (sebelum dirampas secara jijik) seterusnya kita berjaya merampas 8 kerusi Dun di Sarawak?
SPR tetap akan mengaku pihaknya berlaku adil dan amat telus dengan memberi alasan atau dalil mereka di atas pencapaian kita itu. Pada SPR, tiada berlaku `pengundi hantu', tiada berlaku rasuah politik dan projek segera, tiada berlaku kesalahan salahguna jentera kerajaan seperti PDRM, Jabatan Penerangan termasuk media cetak dan elektronik, tiada berlaku penyelewengan undi pos, tiada berlaku perlanggaran peraturan pilihanraya dan sebagainya. Bagi PR, kita sebenarnya tahu apa yang didakwa oleh SPR itu bohong dan menipu tetapi kita dengan sengaja memasuki perangkap mereka.
Sampai bilakah PR akan terus menyertai pilihanraya dalam situasi begini? Apabila kita tewas, tidak kurang sesama kita akan menyalahkan di antara satu sama lain. Sikap tuding menuding jari ini akan membutakan mata kita terhadap masalah pokok iaitu SPR. Mungkin ramai di antara kita tidak sanggup untuk melihat parti yang kita sayangi ini dibuli sesuka hati setiap kali menyertai pilihanraya. SPR semakin berani menunjukkan bahawa suruhanjaya ini adalah merupakan salah satu komponen Bn.
Mustahil SPR tidak nampak bagaimana pemimpin Bn berkempen melalui media sebelum hari penamaan calon sehinggalah selesai hari mengundi mereka ini terus membuli kita. Tidak lojik SPR tidak tahu wujudnya rasuah politik dengan limpahan projek segera yang kununnya memang telah dirancang oleh kerajaan? SPR tidak dengarkah ada pemimpin politik yang berkata, 'I help U, U help Me'? Adakah SPR tidak tahu wujudnya peraturan bahawa setiap ejen calon di peti undi mesti diberikan `borang pengesahan' perjumlahan undi (Borang 14) sebelum dibawa ke Pusat Perjumlahan Undi? Banyak lagi tindakan oleh SPR yang didakwa oleh PR melanggar peraturan pilihanraya, tetapi segala dakwaan ini terhenti begitu sahaja selepas pilihanraya.
PR mesti melakukan sesuatu sebelum rakyat di negara ini menganggap bahawa segala yang didakwa terhadap SPR itu adalah satu dakwaan kosong tanpa bukti akibat pemimpin kita memandang remeh perkara ini. Samada kita menang atau kalah, kita harus terus menentang kemungkaran SPR ini secara serius.
Walau bagaimanapun, secara peribadi saya mengucapkan syabas kepada PR yang berjaya merampas 8 kerusi Bn di sarawak di dalam keadaan kita dibuli semahunya. Kita patut mengucapkan tahniah dan syabas juga kepada seluruh jentera PR yang bekerja begitu kuat sehingga kita berjaya meningkatkan undi kita di Bumi Kenyalang itu. Paling mengembirakan adalah PKR telah berjaya bertapak di Sarawak dari 1 kerusi kepada 3 kerusi. Begitu juga dengan PAS yang telah berjaya meningkatkan jumlah undi terhadap parti ini terutamanya undi dari Kaum Iban.
Kita berjaya menjejakkan kaki ke Sarawak lebih awal dari Umno dan ini satu pertanda bahawa PR bakal menjadi kerajaan di Sarawak suatu masa nanti. Sebelum kita berangan ke situ atau lebih jauh lagi berangan ke Putrajaya, SPR wajib dipulihkan dari penyakit yang semakin kritikal itu./wfauzdin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan