Sabtu, 23 April 2011

PAS Desak Kerajaan Dahulukan Rakyat, Utamakan Keselamatan Isu Lynas

TVS NEWS


KUANTAN : Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dalam isu kilang nadir bumi (tanah jarang) Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng, kerajaan sepatutnya sejak awal lagi mendahulukan pandangan rakyat dan mengutamakan keselamatan mereka sebelum memberi sebarang kelulusan untuk membina kilang tersebut.

Katanya, ekoran bantahan hebat daripada semua lapisan masyarakat di Kuantan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob telah menukar pendirianya sejajar dengan peningkatan bantahan daripada rakyat yang memuncak dari hari ke hari daripada memberi jaminan bahawa kilang Lynas selamat kepada melenting untuk menutup semua kilang di Gebeng jika Lynas Corporation yang memproses ‘rare earth’ tidak dibenarkan beroperasi dengan mengalihkan masalah kepada Putrajaya serta mengatakan bahawa bukan kerajaan Pahang yang memberikan kelulusan.

‘Silat’ Adnan yang menepis masalah panas itu ke Putrajaya ternyata berhasil apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed kelmarin, mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan Barisan Nasional bersetuju untuk menubuhkan satu panel bebas secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

“Sepatutnya pandangan pakar diminta dari awal lagi, dan bukan setelah rakyat bangun membantah.

“PAS cukup kesal dengan sikap dolak dalik antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, sehingga terkini MB Pahang dan Kementerian barulah kata nak meminta pandangan pakar sebelum membuat sesuatu keputusan,” ujar Tuan Ibrahim sebagai respons kepada tindakan kerajaan pusat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyoal maksud di sebalik kenyataan Adnan pada sidang Dun Pahang beberapa hari yang lepas, di mana Adnan menyatakan bahawa kalau Lynas ditutup sekalipun, ianya bukan berpunca daripada tekanan pembangkang.

“Jadi kalau bukan kerana tekanan pembangkang, maka atas alasan apa Lynas akan ditutup,” soalnya atas hujah bahawa Lynas sememangnya mendapat lampu hijau untuk beroperasi daripada kerajaan negeri dan kementerian yang berkenaan.

“Dalam keadaan bangunan yang dalam proses untuk disiapkan, dan Lynas dijangka akan memulakan operasinya hujung tahun ini... kerajaan masih gagal memberi kata putus untuk tutup segera atau tidak.Jadi sekarang kita menunggu samada kerajaan hendak membuat sesuatu berdasarkan kehendak rakyat atau sebaliknya dan menanggung risiko dihukum rakyat pada piliharaya umum ke 13,” tegurnya.

Tambah Tuan Ibrahim, secara logiknya rakyat kini sudah matang dan pandai berfikir mengapa kerajaan Australia hendak menolak projek Lynas yang bakal mendatangkan keuntungan lumayan setahun sekiranya tiada risiko sampingan.

“Takkanlah projek yang berdaya maju begini tiada negara akan sanggup menerimanya, lalu di saat negara lain menolak kerana takut akan risikonya, mengapa pula Pahang terima?” soal beliau lagi.

Menurut Mustapa, seramai lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel bebas bagi membantu menangani keresahan orang ramai terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar kesan daripada kilang Lynas di Gebeng.

Kajian yang bakal mengambil masa sebulan itu akan menjadi penentu samada lesen pengoperasian akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia (AELB).

Lynas turut dihalang untuk mengimport bahan mentah dari Australia selagi kerajaan belum membuat keputusan terhadap kajian itu.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenai projek itu, dan semakan semula akan dilakukan bagi memastikan pembinaan kemudahan itu mematuhi sepenuhnya standard keselamatan antarabangsa,” kata Mustapa, dan menambah bahawa kesihatan dan keselamatan oramg ramai dan alam sekitar akan terus diutamakan oleh kerajaan.

Tiada ulasan: