Sabtu, 9 April 2011

Menanti anak sulung kembar PAS di Beting Maro, Sebuyau

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Lima hari berada di Kuching, Batang Lupar, Saratok dan sekitar Kota Samarahan, menyaksikan gelagat siasah dan permainan politik masyarakat di Sarawak amat mengujakan.

Lambang bukan ukuran seseorang untuk dicap sebagai penyokong sesebuah parti, sebaliknya mereka mampu melakukan apa yang disebut sebagai 'U Turn' yang besar.

Lambang dacing dibaju yang dipakai pengundi bukanlah satu jaminan mereka akan memangkah calon BN yang majoritinya mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Sebaliknya, lambang dacing kini hanya sekadar hiasan untuk masyarakat di sini mendapatkan wang ketika berarak menuruti calon.

Harakah sempat membuat tinjauan dalam empat kawasan Dun daripada lima kerusi yang ditandingi PAS, iaitu Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya dan Muara Tuang bermula 5 hingga 9 April.

Hari penamaan calon pada 6 April lalu sudah menceritakan segalanya. Bagaimana di Beting Maro, calon PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus diarak bagai artis oleh penduduk setempat yang dahagakan perubahan.

Rumah-rumah panjang yang dulunya sukar ditembusi kini menjadi ladang kempen PAs. Malah beberapa Tuai Rumah (Ketua Rumah Panjang) memberikan sokongan terus dan jaminan untuk membaw anak-anak buahnya memangkah Abang Ahmad Kerdee, pada 16 April ini.

Di Muara Tuang, keadaan berbeza sedikit dengan politik masyarakatnya masih belum mampu menerima perubahan yang dibawa PAS dan Pakatan Rakyat. Pengundinya rata-rata kelihatan masih takut dan tidak mahu untuk membuka ruang kepada PAS untuk menerangkan tentang perjuangan dan dasar keadilan Islam yang dibawa PAS selama ini.

Tetapi, paling menarik perhatian, corak politik yang ditonjolkan masyarakat Melayu dan Iban di Sebuyau, sebuah kawasan yang dahulunya cukup kuat berpegang kepada 'khurafat' bahawa yang boleh memerintah hanyalah BN-PBB.

Kali ini, rata-rata pengundi seakan tidak menghiraukan apa sahaja yang diperkatakan BN mengenai pembangkang (Pakatan Rakyat) khususnya PAS yang bertanding di Sebuyau.

Calon PAS, Adam Ahid yang juga Pesuruhjaya PAS Sarawak mendapat sambutan hangat di Sebuyau, malah kehadiran beliau di kawasan Iban serta penempatan Melayu sekitar Kampung Lebaru dan beberapa kampung lain, juga di pekan Sebuyau nyata disenangi.

Beberapa penduduk tempatan yang ditemui di surau Pekan Sebuyau berkata, masyarakat di sini akan melakukan 'U Turn' untuk tidak lagi menyokong BN, sebaliknya mereka mahukan pembaharuan.

Pembaharuan yang dimaksudkan adalah dengan menyokong calon PAS agar kerajaan yang ada hari ini sedar bahawa kuasa rakyat besar untuk mengajar erti menghormati hak dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Demikian kata seorang pengundi yang tidak mahu namanya disiarkan.

Sebuyau bukanlah sebuah kawasan yang membangun seperti di tempat lain di seberang Kuching, Muara Tuang, Samarahan, ataupun Bandaraya Kuching, jauh sekali mendapat kemudahan asas yang sebaiknya. sejak sekian lama masyarakat Sebuyau terpaksa menyeberangi sungai dengan menggunakan Feri di dua jeti, pertamanya Jeti First Point dan keduanya di Muara Tuang.

Kesusahan mereka ini tidak pernah dirasai pemimpin ataupun wakil rakyat kerana apa sahaja yang disuarakan rakyat langsung tidak mendapat perhatian wakil rakyat, ataupun kerajaan Sarawak pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Hanya untuk menyeberangi jalan ke Kota Samarahan terpaksa menggunakan jeti dan ini menyukarkan. Sedangkan kerajaan mampu untuk menyediakan jambatan membuatkan pengundi di sini mula muak dengan BN-PBB.

Kali ini, 'U Turn' yang dinyatakan mungkin sekali akan membawa masalah besar kepada BN di Sebuyau, lantas politik baru akan segar dan malar di Sarawak jika PAS mampu membawa sinarnya seterang bulan.

Ia tidak termasuk soal kemiskinan, jalan raya yang 'bergelombang' dan kemudahan air yang kadang-kadang banyak masalahnya.

Analisis awal Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali mungkin menepati senario yang mahu digambarkan penulis, di mana BN sendiri meletakkan 'kesukaran' di beberapa Dun yang dahulunya dimenangi oleh PBB dengan majoriti tinggi.

Beting Maro dan Sebuyau, bak kata Mustafa, boleh menjadi 'anak sulung kembar' buat PAS di Sarawak melihatkan perkembangan setakat hari ini. Namun yang penting, kerja kuat jentera perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa menuju 16 April 2011.

Tiada ulasan: