SHAH ALAM – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata kewujudan kumpulan ajaran sesat yang semakin meningkat berpunca daripada “kejahilan” orang Islam mengenali agama sendiri.
Menurut Mashitah, sejak 2008 hingga 2010 jumlah individu yang ditahan kerana didapati menyertai kumpulan ajaran sesat semakin bertambah.
“Kejahilan adalah penyebab kenapa ramai yang boleh ditarik termasuk profesional dan bila bercakap soal ajaran sesat takrif yang telah digazetkan adalah sebagai ajaran atau amalan Islam yang didakwa berdasarkan ajaran Islam yang sebenar dan ia bertentangan dengan ajaran Islam.
“Jadi isunya sekarang bila seseorang itu sesat, bagaimana status? Bila dikatakan sesat statusnya di mana? Yang sesat adalah orang yang buat benda tak ada (dalam Islam) dan yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.,” katanya pada program Benarkah Sesat: Debat atau Tangkap anjuran Sinar Harian di sini.
Kata beliau, ajaran sesat berlaku atau wujud apabila ada pihak yang cuba untuk “mempermudahkan” ajaran dan amalan yang telah ditetapkan dalam agama Islam.
“Sebagai contoh kalau Rukun Islam dan mengucap dua kalimah syahadah kalau ditambah ia akan jadi sesat, solat kalau hanya buat tiga kali ia juga adalah sesat dan begitu juga dengan Rukun Iman.
“Ada juga ajaran yang mana dosa boleh dibersihkan jika memberikan anak gadis ditiduri oleh ketua kumpulan, mereka cari jalan mudah yang tak boleh diubah... diubahkan,” katanya.
Justeru kata Mashitah, kerajaan berusaha sedaya upaya untuk membendung dan menghalang pergerakan kumpulan ajaran sesat di Malaysia.
“Kerajaan sudah buat strategi bagaimana nak bendung perkara ini yang iaitu kita harus mencegah, merawat dan penguatkuasaan.
“Bukan mudah untuk tangkap (kumpulan ajaran sesat) kerana kalau nak tangkap ia perlukan pembuktian dan ia bukan mudah,” katanya.
Sementara itu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata setiap hukuman yang mahu dijatuhkan termasuk kepada kumpulan ajaran sesat perlu terlebih dahulu mendapatkan penjelasan.
“Perkataan sesat adalah perkataan berbentuk hukuman walaupun kadang-kadang hukuman itu ada pengaruh politik.
“Jadi atas nama keadilan Islam maka kita perlu berhujah dengan semua pihak dan siapa yang akan dihukum wajar diberi peluang membela diri,” katanya.
Beliau berkata sebarang keraguan dan salah tanggapan harus diselesaikan secara intelektual.
“Dialog, perbincangan intelektual adalah diperlukan, segala keraguan boleh diselesaikan di meja perbincangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan