KUALA LUMPUR — Persatuan Penulis Nasional (Pena) menyifatkan desakan dibuat pertubuhan Cina semalam sebagai mahu “mencuba nasib” untuk “menguji” Putrajaya setelah masyarakat India berjaya dalam tuntutan mereka berhubung novel kontroversial Interlok.
Semalam, beberapa pertubuhan Cina secara terbuka mengkritik karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sambil menyifatkannya bersifat rasis.
Beberapa wakil masyarakat Cina menggambarkan watak orang Cina dalam novel itu sebagai tamak, “tahi candu” dan kaki perempuan semata-mata untuk memberikan kelebihan kepada orang Melayu.
Pertubuhan-pertubuhan itu bagaimanapun tidak mahu novel itu disunting seperti mana yang dituntut masyarakat India, yang tidak gembira dengan perkataan “paria” — tetapi mahu digugurkan daripada digunakan sama sekali.
Timbalan Presiden Pena Amiruddin Md Ali Hanafiah berkata, tindakan yang dilakukan pertubuhan Cina itu semata-mata mahu mempolitikkan kembali novel Interlok setelah Putrajaya bersetuju untuk meminda novel ini seperti mana yang dituntut masyarakat India.
Sebelum ini, novel kontroversi yang kini dijadikan buku teks tingkatan lima berdepan dengan bantahan daripada masyarakat India kerana menggunakan perkataan “paria” dan kini Kementerian Pelajaran berdepan dengan desakan dari masyarakat Cina pula.
“Ia sudah jadi isu politik, apabila MIC berjaya mereka (masyarakat Cina) rasa perlu bertindak dan ia sepatutnya tidak berlaku.
“Tapi apa yang berlaku sekarang mereka pula cuba politikkan perkara ini setelah masyarakat India berjaya dengan tujuan untuk menduga tindakan kerajaan pula selepas ini . . . ini adalah satu permainan politik dan jika ia berterusan boleh merosakkan kebebasan berkarya,” kata Amiruddin kepada The Malaysian Insider.
Beliau yang ternyata kecewa dengan apa yang berlaku menegaskan, novel Interlok tidak menghina mana-mana kaum dan ia ditulis bagi menggambarkan peristwa yang berlaku sebelum negara mendapat kemerdekaan.
“Ini kerana novel Interlok tidak menghina mana-mana kaum, bagi saya apa yang ditulis itu adalah gambaran realiti apa yang berlaku ketika itu.
“Penulis menulis berdasarkan pandangan dan realiti tentang apa yang berlaku ketika itu iaitu peristiwa sebelum merdeka lagi,” katanya.
Jelas Amiruddin, tindakan dan desakan dibuat beberapa pihak agar novel itu ditarik balik amat dikesali.
“Apabila desakan macam ini berlaku ia menunjukkan sikap tidak baik, saya kecewa sebab ia adalah satu karya yang besar dan tidak mengganggu perpaduan kaum.
“Walaupun ada pindaan namun kita tetap berpendirian bahawa novel ini sepatutnya tidak dipinda, sebab itu kita harap semua pihak tidak perlu risau termasuk masyarakat Cina dan India,” katanya.
Novel Intelok yang ditulis pada 1971 menggambarkan perjuangan orang Melayu, Cina dan India dalam era prakemerdekaan.
Minggu lalu Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Interlok akan tetap digunakan di sekolah dan telah mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyunting semula novel itu.
Muhyiddin juga berkata kementeriannya juga akan menyediakan glosari bagi menjelaskan frasa-frasa dan konsep-konsep kepada pelajar.
Novel Interlok menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India.
Kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu.
Sementara itu, Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Prof Madya Zainal Abidin Borhan berkata, tindakan yang diambil pertubuhan Cina sudah terlambat kerana Kementerian Pelajaran sudah membuat keputusan.
“Sudah terlambat, keputusan sudah dibuat . . . kenapa kita mesti panjangkan perkara ini?
“Saya fikir kita terperangkap kerana novel ini tidak rasis, perkara ini sudah selesai,” katanya.
Kata beliau, desakan yang dibuat itu menunjukkan mereka tidak membawa novel itu dari sudut karya kreatif.
“Perkara ini sudah selesai, kalau dibangkitkan lagi ia akan menimbulkan ketegangan.
“Mereka tidak melihat ia sebagai sebuah karya kreatif, kalau kita berjiwa besar mudah untuk kita memahami,” katanya.
Selain itu, Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT) juga menuntut agar novel Interlok ditarik balik daripada digunakan di sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan