Sabtu, 2 April 2011

Greater Penang: Kerajaan negeri sedia ganding dengan Putrajaya, kata Lim

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat (PR) menyatakan kesediaannya untuk berganding dengan Putrajaya bagi membangunkan Pelan Induk Greater Penang, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini.

Sehubungan itu Lim berkata, kerajaan negeri sanggup untuk mengetepikan rangka tindakan Pulau Pinang dan Pelan Induk Perindustrian 2011-2015 yang telah pun dirangka bagi membolehkan Pelan Induk Greater Penang dilaksanakan bersama.

“Pulau Pinang mengalu-alukan inisiatif kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membangunkan bersama Pelan induk Greater Penang, yang akhirnya akan membawa kepada satu bandar gabungan utama yang selari dengan wawasan kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahu melahirkan bandar raya bestari dan antarabangsa,” kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Kami mengalu-alukan kerjasama usaha sama. Sebagai respons dan untuk membuktikan keikhlasan dan komitmen kepada tawaran Perdana Menteri, kerajaan negeri bersedia untuk mengetepikan rangka tindakan Pulau Pinang dan Pelan Induk Perindustrian 2011-2015 yang telah pun dirangka agar memihak kepada Pelan Induk Greater Penang,” kata Lim lagi.

Semalam, Najib berkata, kerajaan persekutuan berhasrat membangunkan Program Transformasi Greater Pulau Pinang melalui satu makmal empat hingga enam minggu yang diperantarakan secara bersama oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan dan Khazanah Nasional dengan penyertaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Makmal itu akan disertai peserta dari kedua-dua sektor awam dan swasta pada peringkat persekutuan dan negeri.

“Pulau Pinang adalah penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar kawasan perbandaran utama ketiga terbesar, selepas Kuala Lumpur dan Johor Baru, di Malaysia di bawah Pelan Fizikal Negara dan Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya.

“Makmal Greater Pulau Pinang adalah tanggungjawab yang diwujudkan bagi mewujudkan butiran pelaksanaan program itu bagi membuka peluang pembangunan di wilayah itu serta bagi mengenal pasti dan menyelesaikan potensi halangan semasa pelaksanaannya,” katanya.

Tiada ulasan: