Selasa, 5 April 2011

Alkitab: NGO Pembela cabar ‘Formula Idris Jala’

KUALA LUMPUR— Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyifatkan langkah Putrajaya menawarkan 10 formula menyelesaikan isu kitab Injil dalam Bahasa Malaysia sebagai keputusan “mengalah” kepada desakan-desakan dibuat oleh kumpulan masyarakat Kristian dan mahu ia dikaji semula.

Pembela yang dianggotai 19 badan bukan kerajaan (NGO) juga menegaskan langkah terbaru Putrajaya itu akan menyebabkan desakan sama berulang kembali yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, 10 langkah itu bertujuan untuk menyelesaikan masalah kitab Injil atau Alkitab yang masih berlarutan sehingga kini - antaranya kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia atau Indonesia boleh diimpot ke Malaysia.

Selain itu, sebagaimana diumumkan minggu lalu, Putrajaya juga memutuskan Alkitab juga boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Bagi mereka yang mengikuti perkembangan isu ini sejak ia mula dicetuskan oleh kumpulan-kumpulan Kristian, ‘Formula Idris Jala’ ini jelas merupakan satu keputusan mengalah dan menunduk kepada strategi konfrontasi, manipulasi dan mendesak yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan Kristian untuk mencapai tujuan mereka dalam isu ini.

“Pendekatan ‘Formula Idris Jala’ ini adalah satu trend yang tidak sihat dan akan menggalakkan berulangnya pendekatan konfrontasi dan manipulasi digunakan bagi menuntut sesuatu yang hakikatnya bercanggah dengan Perlembagaan (Persekutuan), undang-undang, sejarah dan budaya negara,” kata jurucakap Pembela Dr Yusri Mohamad.

Beliau menegaskan, keputusan yang diumumkan Putrajaya itu langsung tidak mengambil kira pandangan kumpulan yang dibuat masyarakat Islam di negara ini.

“Status keputusan ini tidak jelas dan kabur. Kita diberi gambaran bahawa di pihak kerajaan, Datuk Seri Idris Jala dan Peguam Negara diberi peranan utama sedangkan isu ini juga melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam.

“Perbincangan juga hanya diadakan dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) sedangkan pihak-pihak yang mewakili suara umat Islam baik di pihak kerajaan mahupun pertubuhan-pertubuhan Islam langsung tidak diambil kira,” kata beliau sambil bertanya “kami ingin bertanya adakah ini pendekatan baru yang akan diambil oleh pihak kerajaan dalam menangani isu-isu agama?”

Menurut Yusri, pihaknya tetap berpendirian keputusan Putrajaya melepaskan kitab Injil itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

“Oleh itu edaran kitab Injil dalam Bahasa Malaysia bukannya satu keputusan yang boleh dibenarkan begitu sahaja atas tekanan mana-mana pihak.

“Apa yang turut menyedihkan, ‘Formula Idris Jala’ ini juga langsung tidak mengambil pandangan Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama yang diwujudkan sendiri oleh Kabinet,” katanya.

Justeru, kata Yusri, pihaknya mahu agar 10 langkah itu dikaji semula dan diselaraskan dengan undang-undang dan persefahaman antara agama dan kaum.

“Oleh kerana isu ini boleh ada kaitannya dengan kedudukan Islam dan umat Islam, pandangan wakil-wakil Islam hendaklah diambil kira dengan saksama dalam mencari formula yang lebih tepat.

“Jika tuntutan ini tidak diberi perhatian, Pembela mempertimbangkan untuk mencabar kesahihan Formula Idris Jala ini di mahkamah,” katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang kelmarin, Idris berkata, kerajaan pusat mengumumkan 10 formula penyelesaian, antaranya kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia atau Indonesia boleh diimpot ke Malaysia bagi menyelesaikan isu Alkitab.

Selain itu, Putrajaya juga memutuskan Alkitab juga boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah perkembangan baru yang seharusnya diterima dengan senang oleh kumpulan Kristian,” kata Idris.

Bagaimanapun, bagi menghormati komuniti Islam yang besar di Semenanjung, kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Indonesia mesti tertera dengan “Penerbitan Kristian” (“Christian Publication”) dan tanda salib pada kulit hadapan.

Demi semangat 1 Malaysia dan akuan bahawa ramai yang berhijrah antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, tidak terdapat larangan bagi mereka yang membawa kitab Injil dan bahan bacaan Kristian semasa melawati negeri-negeri tersebut.

Idris berkata, “adalah harapan saya agar jalan penyelesaian yang berdasarkan 10 aspek yang telah dikemukakan diterima oleh kumpulan Kristian secara positif, adil dan munasabah.”

Tiada ulasan: