Khamis, 20 Januari 2011

RM3 juta kepada Adun BN untuk projek kesejahteraan rakyat

BERNAMA

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM3 juta untuk setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di negeri ini melaksanakan pelbagai projek kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata daripada jumlah itu, RM1 juta adalah untuk projek-projek kecil, RM500,000 masing-masing untuk bantuan am dan atap rumah, RM330,000 untuk membina 10 unit rumah baru dan RM200,000 untuk membaik pulih rumah.

“Peruntukan itu ada peningkatan berbanding tahun lalu yang mana untuk projek kecil hanya RM500,000 saja disediakan manakala bantuan am RM400,000,” katanya selepas majlis perjumpaan dengan Veteran Umno dan Jasamu Dikenang Parlimen Kuala Nerus, di sini hari ini.

Mengenai peranan veteran dalam Umno, Ahmad berkata mereka adalah anggota Umno yang setia yang berjuang dengan ikhlas sejak dulu sehingga negara mencapai kemerdekaan.

Katanya mereka dilihat masih mampu menyumbang kepada Umno kerana melalui pengalaman mereka mampu menarik golongan muda terutama anak-cucu mereka untuk menyokong Umno.

“Semangat mereka itu penting. Cuba lihat ada yang datang bertongkat kerana jiwa mereka itu jiwa Umno dan masih sanggup memberi sumbangan kepada parti, kepada negara sehingga mencapai kemerdekaan dan nikmatnya dirasai hari ini,” katanya

Tiada ulasan: