Khamis, 20 Januari 2011

Calon BN: Isu tanah antara masalah utama di Labis

BERNAMA


LABIS — Isu tanah adalah antara masalah utama yang perlu diberi perhatian di Labis, kata calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.

Sebagai bekas penolong pegawai daerah kecil Rengit, Batu Pahat dan pernah bertugas sebagai penolong pentadbir tanah daerah Segamat, isu-isu berkaitan pemilikan dan urusan permohonan tanah sering ditimbulkan oleh masyarakat setempat, terutama oleh peneroka Felda dan Felcra, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Kampung Paya Merah di sini hari ini.

Mohd Azahar semalam diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi DUN Tenang.Penamaan calon diadakan Sabtu ini.

Beliau juga yakin pengalamannya dalam pentabiran kerajaan dapat membantunya mengatasi masalah tanah yang dihadapi oleh masyarakat Labis.

Malah sebagai anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang Allahyarham Ibrahim Daud dari 1999 hingga 2004, serta bekas Ketua Umno Bahagian Labis, Mohd Azahar banyak belajar daripada arwah bapanya mengenai politik tempatan.

Menyifatkan ayahnya sebagai individu yang banyak mengajarnya mengenai dunia politik, beliau berkata arwah bapanya pernah berpesan kepada beliau dan adik-beradiknya bahawa jika mereka mahu jadi pemimpin jagalah daripada segi gaya, pergaulan dengan orang ramai, dan pesanan itu sentiasa dipegangnya.

Dikenali sebagai nama timangan ‘Tok Ai’ di kalangan penduduk Labis, Mohd Azahar adalah juga bekas Penolong Bendahari Pemuda Bahagian Labis dari tahun 2004 hingga 2008, serta Ketua Umno Cawangan Kampung Paya Merah, Labis.

Tiada ulasan: