Isnin, 31 Januari 2011
UMNO Selangor bangga prestasi BN di Tenang
SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – UMNO Selangor melahirkan rasa bangga dengan prestasi baik yang ditunjukkan oleh jentera Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang berjaya mengalahkan Pas dengan majoriti yang besar.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, walaupun DUN Tenang mengalami banjir dan hujan yang tidak berhenti di sepanjang tempoh pengundian namun jentera BN masih berjaya mengekalkan kerusi DUN tersebut.
Menurutnya, prestasi memberangsangkan ini diharap dapat diteruskan semasa di Pilihan Raya DUN Merlimau, Melaka yang akan bermula pada 6 Mac ini.
“Kita sudah menjangka dari awal lagi kerusi ini akan menjadi milik kita, walaupun hari hujan dan DUN Tenang mengalami banjir namun, kemenangan masih milik BN.
“Diharap kesemua jentera parti tidak leka dalam kemenangan ini dan dalam bekerja bersungguh-sungguh pada Pilihan Raya DUN Merlimau nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Menerusi kemenangan di DUN Tenang ini, BN telah berjaya mengekalkan rekod kemenangan setelah memenangi DUN Galas, Parlimen Batu Sapi dan juga Hulu Selangor.
Sementara itu Pas Selangor akan membantu Pas Pusat untuk bangkit semula di Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau, Melaka pada 6 Mac ini bagi menebus kekalahan di PRK DUN Tenang, Johor.
Timbalan Pesuruhanjaya II Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, kekalahan Pas di DUN Tenang bukan kekalahan parti itu secara keseluruhannya, sebaliknya satu titik permulaan untuk Pas menawan Johor.
Dalam masa sama, Pas Selangor bertanggungjawab memberikan kerjasama terbaik bagi memastikan kemaraan Pas di Merlimau.
“Pas tidak menganggap itu sebagai kekalahan total. Ini merupakan langkah kita (Pas) untuk memulakan gerak kerja menawan Johor.
“Kita tahu undi kawasan Felda banyak berpihak kepada BN tetapi kita tidak boleh melihat setakat itu sahaja. Pas akan mengenal pasti setiap saluran mengundi dan mengkaji setiap kawasan mengundi, bagaimana trend pengundian,” katanya.
Bagaimanapun Iskandar mengakui kemenangan BN di Tenang disebabkan DUN tersebut merupakan kawasan tradisi BN.
“BN mengerahkan seluruh jentera kerajaan terutama di tempat-tempat yang Pas tidak dapat masuk, itu adalah kekurangan Pas sebab kita tidak ada jentera-jentera seperti bot (bawa pengundi ke tempat mengundi) dan sebagainya,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan