Sabtu, 29 Januari 2011

Piket Mahasiswa di Kementerian Pengajian Tinggi

MERDEKA REVIEW

Piket mahasiswa anjuran Pro-Mahasiswa Nasional di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun 2011 ini bakal menyaksikan satu lagi tanda aras kebangkitan mahasiswa pada tahun 2011 yang sentiasa cakna terhadap sebarang permasalahan yang melanda kampus-kampus universiti di seluruh Malaysia.

Piket Pro-M Nasional ini juga mengumpulkan beberapa pimpinan mahasiswa dari segenap front mahasiswa di seluruh Malaysia termasuklah dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA), Pro-Mahasiswa (Pro-M) dari beberapa kampus di Lembah Klang serta beberapa lagi aktivis mahasiswa dan masyarakat dari seluruh Malaysia.

Kemuncak kepada piket ini ialah Pro-M Nasional akan menghantar satu deligasi yang terdiri daripada beberapa pimpinan mahasiswa untuk menyerahkan memorandum tuntutan mahasiswa kepada Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin.

Antara tuntutan yang terdapat di dalam memorandum tersebut ialah :
1. Bebaskan mahasiswa daripada cengkaman politik luar.
2. Kembalikan demokrasi & kebajikan mahasiswa.
3. Pusat pengundian semasa pilihanraya kampus ditukar dari kolej ke fakulti.
4. Penubuhan suruhanjaya bebas yang akan memantau perjalanan pilihanraya kampus.
5. Pemansuhan E-Voting.
6. Tarikh pilihanraya kampus diumumkan lebih awal.
7. Tempoh berkempen di dalam pilihanraya kampus dipanjangkan.
8. Berikan cuti pada hari penamaan calon dan pembuangan undi.

Justeru, Pro-M Nasional juga berharap supaya di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khususnya Menteri KPT mengambil perhatian yang serius terhadap beberapa tuntutan Pro-M Nasional yang mewakili sebahagian besar mahasiswa di kampus-kampus seluruh Malaysia.

Semoga dengan tuntutan-tuntutan tersebut ia akan memberi nafas baru kepada gerakan mahasiswa di setiap kampus dan Pro-M Nasional akan terus mendokong usaha-usaha murni di peringkat KPT mahupun Kerajaan Pusat dalam memastikan mahasiswa di Malaysia mampu membentuk jatidiri dan idealisme yang mapan ke arah perencanaan masa hadapan Negara yang lebih dinamik.

*Kenyataan media oleh Pro-Mahasiswa Nasional pada 28 Januari 2011.

Tiada ulasan: