Aidila Razak
Kematian A Kugan, 23 ketika dalam tahan polis pada 2009 menyaksikan keberangan di kalangan ahli-ahli politik India yang bertelagah sekali lagi senada menuntut keadilan ditegakkan.
Ahli parlimen Kapar, M Manickavasagam petang semalam berkata PKR sedia bekerjasama dengan BN untuk menegakkan keadilan untuk Kugan dan memperbaiki kepincangan sistem keadilan yang menjadi punca kematian pemandu forlift itu dan menyaksikan kebebasan anggota polis V Navindran.
"Kita sedia kerjasama dengan parti-parti BN yang juga mahukan Suruhanjaya Siasatan Diraja. (Bekas pemimpin PPP) T Murugiah, (Ahli jawatankuasa tertinggi MIC) K Devamany, (Ketua pemuda MIC) T Mohan semua melihat kecederaan itu, jadi mereka mesti buat sesuatu,” kata ahli parlimen yang mewakili keluarga Kugan.
Manickavasagam adalah antara ahli politik yang lantang memperjuangkan isu dan berjaya memaksa pihak berkuasa menjalankan bedah siasat kedua. Laporan bedah siasat itu menunjukkan Kugan dibiarkan kelaparan, dibakar dan dibelasah ketika dalam tahanan polis.
"Amat memeranjatkan. Selepas penghakiman terbuka kes Teoh Beng Hock dan laporan bedah siasat kedua M Krishnan menyatakan mangsa mati kerana ulser perut, di sebalik kesan lebam, ini nampaknya satu lagi kes yang cuba ditutup.
"Ini kes yang jelas. Luka sebegitu parah dan hidup matinya di tangan polis,” katanya dengan nada kecewa.
Sementara itu, beberapa pemimpin MIC termasuk Mohan juga mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, bukan sahaja ke atas kematian Kugan tetapi juga menyelidik mengenai kadar kematian yang begitu tinggi ketika dalam tahanan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan