Ahad, 30 Januari 2011

Mubarak enggan tunduk, 68 maut Mesir terus gelora

THE MALAYSIAN INSIDER


Rakyat Mesir menyertai demonstrasi di dataran Tahrir, Kaherah hari ini. — Gambar Reuters

KAHERAH — Presiden Hosni Mubarak terus berpegang pada tampuk kuasa meskipun desakan rakyat Mesir agar beliau berundur terus meningkat hari ini.

Setakat malam ini (waktu Malaysia) hampir 70 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 2,000 cedera dalam demonstrasi menggesa pemimpin berusia 82 tahun itu berundur daripada memimpin negara itu.

Sumber-sumber hospital dan saksi memberitahu Reuters, 68 orang sudah disahkan terbunuh di Kaherah, Suez dan Iskandariah.

Semalam, Mubarak yang sudah tiga dekad memimpin Mesir, mengarahkan Kabinetnya meletakkan jawatan untuk membentuk kerajaan baru dan membawa pembaharuan.

Hosni turut mengarahkan tentera mengawal ibu negara Kaherah dan beberapa bandar lain sepanjang malam dan mengenakan darurat dalam usaha mengawal demonstrasi negara Arab yang paling padat penduduk dan negara sekutu Amerika Syarikat itu.

Laporan BBC juga menyebut letupan kedengaran di bangunan keselamatan di Rafah.

Sementara itu, stesen televisyen Mesir pula melaporkan Mubarak melantik ketua unit risikan Omar Suleiman sebagai naib presiden — julung kali dalam tempoh yang agak lama.

Tiada ulasan: