Isnin, 31 Januari 2011

Banjir di Johor ragut nyawa dua wanita

TERKINI


Keadaan banjir yang semakin buruk di kawasan Segamat hari ini. — Foto oleh Choo Choy May


Gambaran satelit agensi kaji cuaca Singapura menunjukkan pergerakan awam di rantau Asia Tenggara. Wilayah selatan Semenanjung diramal hujan sepanjang minggu ini. —www.weather.gov.sg
JOHOR BARU— Banjir yang melanda Johor meragut nyawa dua wanita — seorang di Cha’ah, Segamat dan seorang lagi di Kampung Rahmat, Kulaijaya.

Kedua-duanya terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian malam tadi.

Di Cha’ah, Rohani Ismail, 51, lemas selepas kereta yang dipandunya dihanyutkan arus deras di KM145 Jalan Johor Baharu-Seremban, kata Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Abdul Majid Mohd Ali.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam tadi ketika Rohani bersama empat anggota keluarganya dalam perjalanan pulang ke Felda Keratong 5, Pahang, selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Semerah, Batu Pahat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Majid berkata kereta yang dipandu Rohani dihanyutkan 50 meter ke dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Beliau berkata sekumpulan penunggang motosikal yang lalu di jalan itu berjaya menyelamatkan anggota keluarga Rohani, termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, tetapi gagal menyelamatkan mangsa.

Katanya gerakan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat Rohani dua jam kemudian.

Di Kulaijaya pula, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya, berkata mangsa yang lemas akibat banjir di Kampung Rahmat dikenali Aw Yoke Lin, 53, berasal dari Taman Pelangi di sini.

“Polis menerima maklumat sekitar 9 malam tadi mengenai kenderaan jenis Hilux yang dipandu oleh Aw yang dilaporkan dihanyutkan air deras dan masuk ke dalam sungai di kampung itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkefly berkata lima anggota bomba dan 12 anggota polis yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat kemudian berjaya menarik keluar kenderaan terbabit dari sungai itu pada pukul 11.50 malam.

Beliau berkata Aw, bagaimanapun, didapati sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya, untuk bedah siasat.

Sementara itu, banjir ekoran hujan lebat sejak hampir seminggu lalu memaksa lebih 8,083 penduduk daerah Kluang dipindahkan dan jumlah itu dijangka bertambah sekiranya hujan berterusan. Kluang salah satu daerah terjejas ekoran hujan lebat di Johor.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir daerah Kluang, penduduk yang terjejas banjir ditempatkan di 43 pusat perpindahan.

“Kita jangkakan jumlah ini akan bertambah kerana kita ada lima lagi pusat perpindahan yang belum pasti jumlah sebenarnya.

“Hampir kesemua kawasan di daerah ini ditenggelami air termasuk Paloh, Kahang, Simpang Renggam dan Kampung Gajah.

“Kita masih menjalankan kerja-kerja membawa penduduk di tempat perpindahan, jumlah yang ada ini akan bertambah,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut jurucakap itu, sebanyak 1,888 keluarga berada di pusat perpindahan di daerah itu.

Laporan hari ini mengatakan hujan yang berterusan di Johor memaksa lebih 1,000 orang dipindahkan selain memutuskan hubungan ke Segamat dan mengancam beberapa bandar lain, mencetuskan kebimbangan berulangnya banjir besar empat tahun lalu yang turut mengorbankan enam orang.

Seramai 1,339 orang telah dipindahkan setakat pagi tadi dengan 16 kampung di Segamat dinaiki air setinggi satu meter.

Menurut beberapa penduduk tempatan di kawasan Segamat, situasi semakin buruk berbanding keadaan yang disaksikan di Johor pada Disember 2006 dan Januari 2007.

Dalam pada itu, dipetik Bernama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bencana banjir yang melanda Labis, Segamat, Kluang, Ledang dan beberapa daerah lain sejak dua hari lepas, berpunca akibat keadaan cuaca hujan lebat yang disifatkannya sebagai luar biasa.

Oleh itu beliau berharap agensi-agensi kerajaan akan berbincang bagi mencari kaedah memperkenalkan sistem amaran awal banjir yang lebih berkesan.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, perbincangan itu perlu diadakan antara pelbagai agensi di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sistem amaran awal banjir itu perlu bukan sahaja bagi membolehkan kita menjangkakan bencana banjir lebih cepat tetapi memastikan operasi pemindahan mangsa banjir dan penggemblengan aset menyelamat menjadi lebih berkesan,” katanya selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Labis hari ini.

Pusat itu menempatkan 830 orang daripada 137 keluarga, yang terjejas ababila banjir melanda beberapa kawasan perkampungan dan taman-taman perumahan di sekitar Labis.

Katanya, segala usaha untuk memindahkan mangsa dan memberi pelbagai bantuan kemanusiaan telah digerakkan melibatkan kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan pusat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Semalam saya telah berbincang dengan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, dan meminta beliau melaksanakan segala usaha bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau turut meminta Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggerakkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu operasi pemindahan mangsa banjir.

Beliau berkata pengalaman Johor ketika berhadapan dengan banjir besar pada 2006 apabila puluhan ribu rakyat negeri itu menjadi mangsa dan ditempatkan di pusat-pusat pemindahan, amat berguna dalam menghadapi bencana banjir kali ini.

Tiada ulasan: