Isnin, 31 Januari 2011

Hasil siasatan kematian Teoh dijangka selesai sebelum 25 April

SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock dijangka akan selesai inkuesnya dan menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya 25 April ini.

Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri James Foong berkata, mereka akan menjalankan siasatan setiap hari dari Isnin hingga Jumaat setiap minggu bermula 14 Februari ini.

“Menurut perhitungan kami, siasatan perlu diselesaikan dan laporan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong menjelang 25 April. Itu bererti kita tidak punya banyak masa,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama di kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Suruhanjaya tersebut akan menyiasat kematian Teoh serta keadaan yang membawa kepada kematiannya.

Suruhanjaya itu ditubuh berikutan bantahan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan pengahkiaman terbuka oleh Inkues Teoh yang memutuskan pembantu politik itu tidak membunuh diri mahupun dibunuh.

Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu antara lain akan menyiasat sama ada terdapat sebarang ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya selain mengesyorkan sebarang tindakan yang sesuai, jika perlu.

Tiada ulasan: