Sabtu, 1 Januari 2011

Pengurusan masjid negara anjur kempen derma darah

BERNAMA

KUALA LUMPUR -
Pihak pengurusan Masjid Negara hari ini menganjurkan Kempen Derma Darah dan Pameran Pendidikan Kesihatan sebagai usaha menggalakkan orang ramai menderma darah untuk masyarakat.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara, Azhar Tuarno berkata usaha itu juga akan mendidik orang ramai bahawa masjid bukan sekadar tempat beribadah malah sebagai tempat untuk beramal dan berbakti kepada masyarakat.

Azhar menyarankan agar masjid-masjid lain turut menganjurkan kempen seperti ini dan menjadikan Masjid Negara sebagai contoh.

“Kempen ini juga menjadi salah satu cara bagi mengimarahkan masjid selain membantu membekalkan darah untuk Pusat Darah Negara,” katanya.

Seorang penderma, Shariffuddin Ali, 34, berkata menderma darah adalah salah satu tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia kepada mereka yang memerlukannya.

“Ini adalah kali ke lima saya menderma dan saya rasa tiada halangan untuk orang lain turut menderma,” katanya.


Tiada ulasan: