Isnin, 24 Januari 2011

MB: Pindaan mahu atasi hinaan dibawa Putrajaya, sikap sumbang Umno

THE MALAYSIAN INSIDER


Khalid Ibrahim membentangkan usul pindaan perlembagaan negeri pada sidang khas DUN pagi tadi. — Foto oleh Jack Ooi

SHAH ALAM— Kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat menegaskan pindaan perlembagaan negeri terpaksa dibawa untuk membetulkan “penghinaan” yang diakibatkan oleh langkah kerajaan persekutuan membelakangi peranan dan kedudukan kerajaan negeri dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi.

“... tindakan kerajaan persekutuan atas tiket Ketua Setiausaha Negara melantik Pegawai Eksekutif Ex-officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat lantas berselindung pula di sebalik istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan rakyat dan kedaulatan negeri.

“Penghinaan ini wajib kita perbetulkan. Berpegang pada tanggungjawab itulah, maka kita kembali ke Dewan yang mulia ini untuk mengadakan Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor,” kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ketika membentangkan usul pindaan perlembagaan negeri pada sidang khas DUN pagi ini.

“Mesyuarat kali ini adalah untuk membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya pada Perkara 52(1),” katanya.

Khalid berkata selaku Menteri Besar, beliau berasa bertanggungjawab untuk memperbetul amalan sumbang yang selama ini dilakukan pentadbiran Umnbo sejak pindaan Perlembagaan 1993.

“Pindaan tersebut ternyata mengakibatkan peranan negeri dan Sultan bercelaru dan kabur.

“Justeru, hari ini kita hendak meletakkan duduk perkara dengan sejelas-jelasnya. Pentadbiran sebelum ini gagal dan tidak mampu membetulkannya kerana walaupun mereka mentadbir negeri, namun pemikiran mereka terpasung dan hati mereka berkiblatkan Putrajaya,” kata beliau.

Khalid berkata, dalam perkataan lain mereka tidak mempunyai kekuatan diri untuk bangun mempertahankan hak rakyat negeri ini hatta hak Sultan.

Bagaimanapun menurut Khalid, walaupun peristiwa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri mempunyai hikmah tersendiri tetapi tidak menganggapnya kemelut besar, bukan juga krisis perlembagaan.

“Natijahnya, kita menerimanya dengan hikmah. Ia memberi peluang kepada kita untuk memperbetul perkara salah yang menjadi amalan selama ini.

“Prinsip “biasakan yang betul dan betulkan yang biasa” adalah prinsip murni yang dapat dijadikan amalan harian kita selepas ini,” kata menteri besar penggal pertama ini.

Katanya, berbeza daripada kerajaan terdahulu, kini kerajaan Pakatan Rakyat hendak melakukan pindaan dan perubahan agar generasi mendatang tidak lagi berada dalam kekaburan hatta kecelaruan.

Tambah Khalid, selaku penggubal undang-undang yang bertangggungjawab dan mempunyai kekuatan ilmu, iman dan jati diri, pihaknya hendak melakukan yang terbaik.

“Akhirnya, tidak ada lagi individu mahupun puak yang berani melanggar kuasa negeri mahupun kuasa Sultan,” katanya lagi.

Ucapan pembentangan hari ini juga menghuraikan kronologi yang menyebabkan sidang khas DUN diadakan.

“Namun, sebelumnya izinkan saya mengimbas kembali sejarah dan latar belakang yang melatari pindaan Perlembagaan 1993, khususnya senario politik negara ketika itu.

“Ia amat perlu dikhabarkan kerana rakyat negeri Selangor berhak untuk mengetahui sejarah dan fakta sebenar dan sebagai negeri yang berdaulat, Dewan Yang Mulia inilah forum terbaik untuk melakarkannya,” katanya.

Malah kata beliau, terdapat segelintir manusia yang menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dan hendak melemahkan kedudukan istana dengan tindakan kita hari ini.

Kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa negeri tidak mempunyai kuasa dalam pelantikan tiga pegawai eksekutif menggambarkan beliau seorang yang menurut buku secara membuta tuli hingga mengenepikan unsur-unsur penting dalam tatakelola pentadbiran yang baik seperti adat, amalan secara konvensyen dan ketetapan bersama yang diterima pakai.

Selaku orang tertinggi dalam perkhidmatan awam, amat malang beliau lupa tentang sejarah dan amalan-amalan biasa yang pernah dan patut diamalkan di dalam mewujudkan sistem pentadbiran yang efisyen.

Kata Khalid, Pakatan Rakyat berpendapat pindaan tersebut telah mengakibatkan kesan negatif kepada pentadbiran negeri.

“Bagi menyokong hujah ini, izinkan saya menegaskan kedudukan dan peranan istana, kerajaan dan perkhidmatan awam dalam pentadbiran negeri," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, jika diteliti peruntukan-peruntukan perlembagaan dan perakuan dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957, dapat rumuskan kedudukan dan peranan istana, kerajaan yang memerintah dan perkhidmatan awam.

Malah katanya, ia diperkuat dengan amalan yang secara konsisten dipatuhi di kesemua negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen atau Westminster.

“Sebahagian besar amalan konsisten yang membentuk apa yang disebut Konvensyen Perlembagaan itu kini dikanunkan sebagai undang-undang dalam Perlembagaan kita; baik Perlembagaan Persekutuan mahupun perlembagaan negeri,” katanya.

Tambah Khalid, kedudukan dan peranan Raja-Raja cukup jelas dan mereka adalah Raja Berperlembagaan iaitu Yang di-Pertuan Agong — di peringkat Persekutuan — adalah ketua negara manakala Raja-Raja pula adalah ketua negeri.

“Perdana Menteri dan Menteri Besar pula adalah ketua kerajaan yang dilantik daripada kalangan Ahli-ahli Dewan. Meskipun mereka dilantik oleh ketua negeri mereka bertanggungjawab kepada Dewan. Inilah bentuk demokrasi yang dilaksanakan menurut sistem Westminster,” katanya.

Katanya, dalam kerangka tersebut Menteri Besar dan kabinetnya yakni Majlis Mesyuarat Kerajaan mesti bertanggungjawab terhadap segala keputusan dan dasar yang digubal dan dilaksanakan.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja tidak dipertanggungjawabkan sebaliknya bertindak menurut nasihat.

“Konsep itu sebenarnya adalah untuk melindungi istana daripada terperangkap dalam kontroversi dan politik. Sebenarnya, Raja-Raja menjadi lambang negeri dan perpaduan rakyat, yang menjangkaui politik kepartian,” katanya lagi.

Khalid seterusnya berkata, Raja-Raja diberi banyak keistimewaan termasuk peruntukan dalam Senarai Diraja yang tidak boleh dikurangkan.

“Mereka juga mempunyai peranan besar sebagai ketua agama negeri masing-masing. Kuasa pemerintahan atau eksekutif diletakkan secara formal di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

“Bagaimanapun, pelaksanaan kuasa ini diletakkan di tangan kerajaan yang memerintah kerana mereka sahaja yang boleh disoal oleh wakil-wakil rakyat,” jelas beliau.

Mengambil prinsip tersebut sebagai landasan, katanya, ia menjelaskan kedudukan dan peranan perkhidmatan awam.

“Oleh sebab mereka tidak dipilih, maka mereka berperanan menjalankan arahan dan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan yang memerintah.

“Bagaimanapun, sebagaimana juga istana mereka kekal di situ walau apapun bentuk dan warna politik kerajaan yang memerintah,” katanya.

Pun begitu kata Khalid, persoalannya sekarang apakah kerajaan yang memerintah mempunyai kuasa mutlak?

“Jawapannya sudah tentu tidak kerana selain terpaksa menjawab soalan di dalam dewan mereka perlu berhadapan dengan rakyat apabila tiba pilihan raya.

“Tegasnya, kerajaan yang memerintah dalam kerangka yang benar-benar demokratik tidak mungkin mempunyai kuasa mutlak,” katanya.

Khalid menambah, Umno menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dengan pindaan ini kerana mereka beranalogi Pakatan Rakyat juga mempunyai budaya politik seperti mereka.

“Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa Umno mahu membolot dan mengongkong segala-galanya; istana, kehakiman, dewan, perkhidmatan awam dan badan-badan lain termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dalam pada itu media juga dikongkong melalui undang-undang. Rakyat juga tidak dapat bebas dengan adanya pelbagai kekangan untuk bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan," kata beliau lagi.

Khalid juga mendakwa Umno ketakutan terhadap janji Pakatan Rakyat yang hendak menghapuskan ini semua.

Di samping itu menurut Khalid, Umno tidak biasa dan tidak berani bermain dalam lapangan yang sama rata dan adil.

“Sebab itu belum apa-apa lagi, Umno sudah membuat pelbagai tohmah dan tuduhan terhadap inisiatif Pakatan Rakyat," kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Khalid

Tiada ulasan: