Khamis, 20 Januari 2011

Kes Tharmendran: ATM akan buat rayuan, kata Zahid

BERNAMA

SUBANG – Sarjan N. Tharmendran, yang dibebaskan daripada tahanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atas perintah Mahkamah Tinggi semalam, perlu kembali bertugas sebaik dibebaskan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau terikat pada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dalam tentera.

ATM menerima secara terbuka keputusan mahkamah itu yang mendapati terdapat kesilapan teknikal dan akan membuat rayuan berhubung keputusan itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Zahid menghadiri majlis penghantaran Kumpulan Pertama Malaysia Battalion (MALBATT 3) di bawah Misi Bangsa Bersatu ke Lubnan di Pangkalan Udara TUDM di sini.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu semalam selepas membenarkan permohonan habeas corpus oleh Tharmendran, yang difailkan sehari selepas ditahan di Pusat Tahanan Kem Batu Kentomen, Jalan Ipoh di sini pada 25 November lepas.

Dalam penghakimannya, Su berkata penahanan itu adalah salah dan dibuat secara tidak sah.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa penangkapan Tharmendran oleh beberapa anggota Jabatanarah Provos Marsyal TUDM yang diketuai Leftenan Kolonel Mohd Razif Ramli adalah sah.

Tharmendran, 42, ditangkap oleh pegawai-pegawai berkenaan selepas dia selesai mengikuti prosiding permohonan menggugurkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin jet milik TUDM, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Terdahulu pada majlis penghantaran kumpulan pertama MALBATT 3, Zahid berkata anggota pasukan keselamatan Malaysia yang melaksanakan program jiwa murni dengan memberi bantuan perubatan, pergigian dan kejuruteraan, diterima dengan mesra dan baik oleh masyarakat di Lubnan.

Tiada ulasan: