Khamis, 6 Januari 2011

Kes Khir Toyo didengar mulai 6 Jun

BERNAMA

SHAH ALAM– Kes bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada sebuah syarikat, akan dibicara di Mahkamah Tinggi di sini pada Jun ini.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki hari ini menetapkan perbicaraan kes itu selama tiga minggu bermula 6 hingga 24 Jun ini.

Beliau juga menetapkan supaya Mohamad Khir, 45, dibicarakan bersama dengan Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni, 52, yang didakwa bersubahat atas tuduhan itu.

Mohtarudin turut melanjutkan ikat jamin RM750,000 yang ditetapkan ke atas Mohamd Khir dan Shamsuddin oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 6 Dis lalu.

Terdahulu itu, Mohamad Khir, yang hadir memakai sut berwarna biru gelap dan Shamsuddin mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah.

Hadir bagi pihak pendakwaan ialah Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Khir, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn. Bhd. (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Mohamad Khir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Shamsuddin pula didakwa bersuhabat dengan bekas Menteri Besar itu, untuk melakukan ksalahan tersebut di tempat dan masa yang sama.

Mohamad Khir, yang menjawat jawatan Menteri Besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mohamad Khir diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Adzly Manas sementara Shamsuddin diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran dan Datuk C.Vijaya Kumar.

Tiada ulasan: