Rabu, 26 Januari 2011

Kempen Hari Ketiga: Mendepani Isu - PAS Mengatasi BN

KELAB GREENBOC

PRK Dun Tenang, buka wajah sebenar Umno

Tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam - merujuk calon PAS-Pakatan Rakyat (PR) kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini. Sekaligus memperlihatkan kegagalan Umno menerangkan Islam yang sebenar kepada sekutunya itu.

Walaupun ucapan Chua itu berlaku dalam perjumpaannya dengan masyarakat Cina bukan Islam, namun Umno tindak mengambil langkah proaktif untuk mengajak MCA berbincang agar isu tersebut dijawab dengan lebih berhemah.

Bahkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan tentang agenda PAS yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat (PR) berkuasa.

Umno bukan sahaja tidak membantu MCA menghormati agama Islam malah mereka sendiri turut sama mempersendakan agama rasmi Malaysia itu. Apakah Umno begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan 5,766 pengundi masrakat Cina sehingga sanggup menjual agama?

Jumlah pengundi Cina tersebut merupakan 38.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Tenang. Dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu, PAS memperolehi sokongan lebih daripada separuh pengundi di tiga kawasan majoriti Cina, iaitu bandar Labis Timur, bandar Labis Tengah dan Labis.

Sebelum ini PAS dituduh oleh Umno dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang pro-Umno bahawa parti Islam itu telah menggadai prinsipnya kerana berkawan dengan DAP yang didakwa anti Islam. Pelbagai tohmahan dan demontrasi dibuat mengutuk tindakan PAS itu. Ditambah pula isu kenyataan "over my dead body" oleh Karpal Singh.

PAS dan DAP didakwa tidur sebantal tetapi mimpi yang berlainan. Tetapi isu ini telah membuka wajah sebenar Umno dan NGO tersebut. Mana perginya suara lantang mereka? Mana jaguh-jaguh pendemo mereka? Mana perginya ketuanan Melayu-Islam yang mereka bangga-banggakan selama ini? Di mana Umno yang gah mengatakan merekalah juara membela agama? Di mana JAKIM dan di mana IKIM? Semuanya menunduk kepala tatkala MCA dan Gerakan mula mencemuh PAS sekaligus menghina Islam kerana pematuhan kepada suruhan agama.

Dalam hal ini, jelaslah bahawa Umno sebenarnya yang menjual agama demi politik mereka. Walaupun Muhyiddin meminta isu ini tidak dipanjangkan oleh MCA, namun sehingga kini tiada suatu dialog khusus antara ulama Umno dengan pimpinan MCA bagi meleraikan isu ini.

Rakyat yang cerdik dan celik tidak kira sama ada Islam atau bukan Islam telah dapat melihat dengan jelas bahawa PAS secara istiqamah meneruskan suruhan agama walaupun difitnah dan dihalang melalui pelbagai cara oleh Umno dan konco-konconya.

Dalam hal ini DAP lebih menghormati Islam setelah berkawan dengan PAS dan tidak pernah mempersoalkan kenapa seorang muslimah perlu bersarung tangan untuk bersalam dengan pengundi yang bukan muhrim. Yang lebih menyedihkan sikap tidak menghormati Islam ini disiarkan ke seluruh negara oleh media pro-Umno.

Isu ini sepatutnya mencelikkan mata dan hati rakyat Johor khususnya di Dun Tenang yang masih beranggapan Umno lah pejuang agama Islam. Sebahagian rakyat Johor telah pun membuat perubahan, dan pengundi Johor sewajarnya memulakannya di Tenang. Perkara ini tidak mustahil kerana Johor terkenal dengan sekolah agama rendahnya. Secara logik, hampir semua anak-anak Johor mempunyai asas agama.

Mereka sewajarnya sedar bahawa Umno yang mempunyai JAKIM dan IKIM hanya mampu bersetuju dengan MCA dan Gerakan dalam perkara perkara yang mencabar dan menghina Islam. Berbanding PAS yang tegas mempertahankan Islam walaupun pernah hilang sekutunya pada pilihanraya 1999.

Walau apapun keputusan PRK Tenang, PAS sudah menang dan membuktikan mereka tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk menegakkan Islam dan memberi kefahaman tentang Islam kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia ini. Berbanding Umno yang berselindung disebalik agama dan apabila keadaan terdesak untuk mendapatkan sokongan Melayu-Islam. Tetapi, tanpa disangka, Dun Tenang telah mendedahkan watak hipokrit mereka. -harakahdaily


Pusingan 2: BN jaring gol sendiri, PAS jerit goool!

ULASAN Pertembungan BN dan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Tenang umpama perlawanan 'Merseyside Derby' antara Real Madrid dan Barcelona di Stadium Barnabeau, Madrid, Sepanyol untuk perlawanan penentuan kejuaraan La Liga.

Bagi peminat setia kedua-dua pasukan itu, pertemuan itu adalah perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong setia pasukan, apatah lagi Real Madrid bermain di hadapan penyokong sendiri.

Kedua-dua pasukan membarisi kesebelasan utama yang mantap dari bintang-bintang handalan dari segenap posisi sama ada serangan, tengah dan pertahanan serta penjaga gol bertaraf dunia.

Bagi Real Madrid, siapa yang tidak kenal seperti Higuan, Karim Benzema, Christiano Ronaldo, Gucci sehingga Iker Casillas. Manakala bagi Barcelona mereka menurunkan bintang seperti David Villa, Lionel Messi, Xavi Henandez, Carlos Puyol sehingga Victor Valdez.

Maka BN, diumpamakan Real Madrid yang turun dengan kesebelasan yang mantap, apatah mempunyai kelebihan bertarung mempertahankan di kubu kuat, Tenang. BN mempertaruhkan Mohd Azahar Ibrahim, seorang bekas penolong pegawai daerah dan bekas bendahari Pemuda Umno Labis.

Manakala PAS diibaratkan Barcelona yang turun sebagai 'pasukan underdog' apatah lagi berdepan dengan ribuan penyokong lawan. Oleh itu PAS menobatkan bekas guru cemerlang dan ketua Muslimat PAS Labis Normala Sudirman mewakili Pakatan Rakyat.


Kelebihan tuan rumah

Pada adat kata, selalunya tuan rumah mempunyai kelebihan untuk mencapai kemenangan, tetapi ia juga harus berwaspada dengan taktikal pihak lawan.

Dengan mengetepikan andaian "bermain di atas padang tidak sama rata", pilihan raya kecil Tenang dilihat penting bagi kedua-dua parti khususnya kepada BN yang mahu mempertahankan kerusi tersebut yang dikuasai sejak dahulu lagi.

Manakala PAS dan Pakatan Rakyat juga mahu memenangi kerusi berkenaan bagi menambah suara pembangkang di DUN Johor seterusnya membuktikan momentum 'tsunami politik' pilihan raya umum 2008 masih lagi kuat selepas menang sembilan daripada 13 pilihan raya kecil.

Jika begitu, umumnya dalam situasi sebegini, perlawanan antara BN dan PAS bukan pertembungan angka atau jumlah kemenangan, tetapi
pertembungan strategi, taktikal dan corak permainan ketika berdepan dengan lawan masing-masing yang sama-sama handal.

Dalam separuh masa pertama, serangan BN terhadap PAS - beberapa hari sebelum penamaan calon - melalui jentera bahagian sayap kanan, MCA yang cuba merobek-robek pertahanan PAS melalui satu serangan - isu negara Islam.

Malah serangan tersebut, mendapat turut mendapat 'restu' Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan "ada baiknya" masyarakat Cina dingatkan dengan perkara tersebut kerana PAS tidak meminda perlembagaan mereka berhubung perkara tersebut.

PAS memintas

Bagaimanapun, serangan itu dapat dipatahkan setelah pertahanan PAS 'merapati' isu berkenaan dan berjaya 'memintasnya' dengan sekadar berkata "itu isu lama" yang dibangkitkan semula, bahkan ia tidak memberi kesan kepada pengundi terutama kaum Cina.

Penat dengan serangan yang tidak menjadi-jadi, BN menukar strategi dan taktikal dengan melancarkan serangan dari arah kiri melalui isu calon PAS - yang mesra dipanggil Cikgu Mala - melalui isu bahawa beliau enggan bersalaman dengan lelaki.

Serangan itu juga dimulakan sekali lagi oleh Chua Soi Lek melalui 'satu hantaran lintang' ke sebelah kiri yang disambut oleh rakan lain - Gerakan.

Bagaimanapun, PAS berjaya mematahkan serangan tersebut dengan 'bertahan' dan sekali sekala melancarkan serangan balas dengan berkata perkara tersebut adalah prisip agama dan wanita Muslim tidak dibenarkan bersalam dengan lelaki.

Mungkin strategi bertahan - buat masa ini - adalah yang terbaik di samping mungkin berbekal kata-kata azimat: "Istiqamah baru datangnya karamah".

Serangan yang bertali arus itu, gagal membuahkan hasil sehingga mendapat liputan meluas oleh media. Kebuntuan mencari gol, menyebabkan pengurus pasukan bangun dari tempat duduk bangku simpanan.

Kehadiran Timbalan Muhyiddin Yassin dalam 'walkabout' semalam bertemu masyarakat dan pengundi di DUN Tenang yang mahu "taktik dan strategi" mengenai isu bersalam ini dihentikan.

Teguran Muhyiddin

Sebaliknya, beliau menegaskan masih terdapat perkara lain yang harus ditumpukan "ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan" kepada rakyat.

"BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu. Terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian kerana (beliau) mungkin (bertindak) atas sebab-sebab tertentu.

"Tapi bagi saya, saya tidak mahu nak mengekploitasi peribadi pihak calon. Itu adalah pilihan beliau (Normala). Tetapi apa pun terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian," katanya dalam satu sidang media di Tenang.

Teguran itu dilihat bukan sahaja kepada MCA tetapi kepada kepada parti komponen yang berada dalam gabungan BN.

Pemerhati politik melihat teguran Muhyiddin itu sebagai serangan dari PAS untuk mendapatkan gol di minit-minit akhir perlawanan separuh masa kedua. Teguran itu juga diumpamakan satu rembatan kencang 'ala Lionel Messi', melencong dan terkena pertahanan sendiri, lalu meniti masuk ke gawang sendiri.

Kedudukan berubah, 1 - 0, dan PAS menjerit "goool"! tanda kegirangan dengan jaringan itu kerana hasil bertahan dan sekali sekali melancarkan serangan pantas berjaya membuahkan hasil, tanpa 'bekerja keras' - buat masa ini.


Rebut peluang

Persoalannya sekarang ialah, berpeluangkah BN bangkit dengan strategi, taktikal dan mengubah corak pemainan yang masuk kepada minit-minit akhir perlawanan untuk mengikat kedudukan walaupun tempoh berkempen masih lagi berbaki lima hari lagi.

Atau mampukah PAS menggunakan peluang ini sekadar bermain bertahan sehingga tamat perlawanan, walaupun barang diingat BN mampu membuat serangan balas dalam permainan berbaki lima minit - masa kecederaan.

Apa sahaja boleh berlaku dalam masa lima minit, seperti mana berlaku dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah 1999 antara Manchester United dan Bayern Munich.

Bayern Munich mendahului hingga akhir perlawanan, tetapi akhirnya kecundang kepada Manchester setelah Teddy Sheringham dan Ole Gunaar Solksjear - masing-masing menjaringkan gol pada minit kecederaan. -mk

Tiada ulasan: