KLANG – AEON Co (M) Bhd yang mengendalikan pasaraya JUSCO berjaya mengurangkan penggunaan beg plastik di kalangan pelanggannya sebanyak 10 juta keping sejak memperkenalkan kempen mengurangkan penggunaan beg plastic pada Januari 2008.
Pengurus Besar Tanggungjawab Sosial Korporat dan Penjenamaan Korporat AEON Noryahwati Mohd Noh berkata pada akhir tahun 2010, AEON berjaya mengurangkan penggunaan beg plastik sebanyak lapan juta keping manakala pada akhir 2009 sejumlah dua juta beg plastik dapat dijimatkan.
“Pengurangan beg plastik sebanyak 10 juta keping ini sebenarnya turut menyumbang kepada penjimatan sumber tenaga iaitu sebanyak 14,640 liter petroleum,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik & “Hari Tanpa Beg Plastik” peringkat negeri di Bukit Tinggi di sini hari ini.
Kempen itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Konsumerisme & Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Mahani Tan Abdullah.
Noryahwati berkata semasa AEON melancarkan kempen itu pada 2008, hanya lima peratus para pelanggannya yang menyambut baik saranan itu namun jumlah mereka kini meningkat kepada 15 peratus.
Ketika AEON mula menjalankan kempen itu pada setiap Sabtu, pihaknya menghadapi rintangan kerana secara umumnya para pengguna di Malaysia sudah biasa diberikan kemudahan beg plastik percuma setiap kali membeli-belah, katanya.
Pada 2008, AEON mengutip RM200,000 daripada penjualan beg plastik yang berharga 20 sen setiap satu pada setiap Sabtu itu dan menurutnya wang itu digunakan untuk membiayai projek penanaman pokok di AEON Mahkota Cheras dan program kemasyarakatan di Hospital Melaka.
Mahani berharap kempen itu yang diadakan bertujuan untuk memelihara alam sekitar mampu menyedarkan masyarakat supaya kurang menggunakan beg plastik.
Katanya setiap pasar raya besar di negara ini memberi 100 juta beg plastic setahun untuk kegunaan para pelanggannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan