Jumaat, 14 Januari 2011

Interlok: Bimbang ada perangkap politik

Rusli Islam

BANGI: Pemuda PAS Pusat berjaya mempertemukan kumpulan sasterawan, seniman dan budayawan bersama dengan wakil-wakil NGO India petang tadi bagi membincangkan berkaitan isu novel Interlok.

Perbincangan berlangsung dalam suasana yang sangat harmoni dan matang, tidak ada sebarang pergaduhan dan pertelingkahan sepertimana yang berlaku di Klang sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat yang mempengerusikan perbincangan tersebut dalam kenyataan medianya merumuskan 3 perkara iaitu kedua-dua pihak sepakat menghormati karya seni hasil penulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Selain itu, kedua-dua pihak juga khuatir adanya perangkap politik, oleh pihak yang sengaja membangkitkan isu sensitif tersebut.

Sebarang aktiviti pembakaran juga adalah ditolak kerana ruang perbincangan sepatutnya diutamakan.

Walaubagaimanapun ada beberapa perkara yang masih belum dapat diputuskan bersama dan perbincangan seterusnya akan diadakan pada 19 Januari, jam 2.30 petang bertempat di kompleks PKNS, di sini.

Menurut Dinsman yang mewakili kumpulan sasterawan, peristiwa hari ini merupakan suatu yang sangat berharga apabila dalam suasana politik yang sangat panas berkaitan isu Interlok dua kumpulan iaitu sasterawan dan kaum India dapat duduk bersama dan berbincang.

"Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku, walaupun belum ada keputusan sebulat suara yang boleh diputuskan tapi dialog berlangsung dalam keadaan yang cukup baik.

"Pertemuan seterusnya, persefahaman akan lebih baik dan akan berjaya menghasilkan satu titik pertemuan," katanya.

Balasubaramaniam, Timbalan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pula merasa sedih dan dukacita kerana ada pihak-pihak yang membakar novel tersebut.

Pada pandangan beliau, perkara itu berlaku kerana pemimpin negara tidak cuba memikirkan suatu cara yang konkrit untuk menyelesaikan masalah itu.

"Saya sangat berterima kasih kepada Dewan Pemuda PAS Pusat kerana melakukan perkara yang paling betul," kata beliau.

Katanya juga, sebenarnya orang-orang India boleh menerima novel dan penulis novel itu.

"Yang menjadi pertikaian sekarang ini ialah novel itu dijadikan buku teks di dalam sekolah menengah," tambahnya.

Perjumpaan tadi disertai oleh wakil-wakil dari Malaysian India Movement, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hindraf, Malaysia India Voice (MIV), Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) dan seniman-seniman dan budayawan-budayawan tanahair.

Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar turut hadir.

Tiada ulasan: