Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: Seluruh warganegara Malaysia terutama yang tinggal di sekitar ibu negara yang berminat untuk mengikuti dialog mengenai novel Interlok, berpeluang menyertainya pada hari Sabtu, 8 Januari ini. Peluang tersebut terbuka kepada orang ramai apabila Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) mengambil inisiatif menganjurkannya dengan mengadakannya di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, di sini, mulai jam 10 pagi. Setiausaha Agung Pena, Syed Mohd Zakir Syed Othman dalam satu kenyataan akhbarnya menjelaskan, majlis tersebut akan dipengerusikan oleh Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad, manakala panelnya pula terdiri daripada Dr Ilias Zaidi dan Dr Fatimah Busu. Menurut beliau, dialog tersebut diadakan bagi menjelaskan isi kandungan novel Interlok secara ilmiah kepada semua pihak dan memberikan kewajaran novel itu dikekalkan sebagai teks Komsas. Katanya, sehubungan itu, satu sidang akhbar akan turut diadakan oleh pihak Pena pada hari dan tempat yang sama pada jam 12.30 tengah hari. "Sidang akhbar itu diadakan bagi menyatakan pendirian Pena menyokong novel Interlok dikekalkan sebagai teks Kamsas tanpa sebarang perubahan terhadap mana-mana isi kandungannya," jelasnya. Interlok merupakan sebuah novel bermutu yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein yang mengambil latar masa sekitar tahun 1910 hingga 1957. Ia mendapat hadiah saguhati dalam peraduan menulis novel sempena 10 tahun merdeka, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam peraduan itu, novel Sandera terpilih memenangi tempat ketiga, manakala hadiah pertama dan kedua tidak dimenangi sebarang novel. Novel Interlok adalah satu rakaman sejarah dalam bentuk fiksyen. Ia adalah rakaman realiti semasa yang cukup baik, mengenai masyarakat Malaysia waktu itu iaitu zaman pra merdeka dan ia sangat sesuai dijadikan teks sekolah. Oleh itu, ia tidak sewajarnya menjadi mangsa politik perkauman di negara ini. Bagaimanapun, kontroversi mengenai Interlok timbul apabila MIC dan Gabungan NGO India memandangnya sebagai sebuah novel yang menghina kaum India, khususnya pada bahagian-bahagian tertentu, sehingga ia dikatakan sebagai karya bentuk 'rasis'. Lebih jauh dari itu, Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia, Datuk A Vaithilingam, dalam kenyataannya, mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel tersebut sekiranya ia tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian teks sastera SPM. Tindakan dan bangkangan mereka itu dilihat tidak berasas dan melampau oleh pelbagai pihak. Bagi menjawabnya, semalam, Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI), telah mengadakan sidang medianya di rumah Pena untuk menyuarakan pandangannya dalam mempertahankan novel itu. Pada sidang media itu, Presiden PAKSI, Dinsman, ketika menjawab soalan wartawan menjelaskan, jika kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran gagal mempertahankan novel itu dan gagal menangani masalah itu dengan baik dalam masa terdekat, pihaknya juga turut bercadang untuk mengadakan forum terbuka secara bersiri. Forum tersebut akan diadakan di tempat yang dikunjungi orang ramai. Dalam konteks semasa, mereka bercadang untuk mengadakannya di Dun Tenang, memandangkan kawasan itu kini menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh negara, sempena pilihanraya kecil kawasan itu yang akan berlangsung 30 Januari ini. Selain itu, beliau yakin, beberapa persatuan penulis lain juga sedang merancang untuk mengadakan tindakan tersendiri bagi menyuarakan pandangan mereka berhubung perkara itu. |
Khamis, 6 Januari 2011
Dialog novel Interlok Sabtu ini
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan