Jumaat, 3 Disember 2010

Tiada penafian keluar PKR oleh Chegu Bard


badrulhishamOleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Ketua Cabang Rembau, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin hari ini enggan mengulas lanjut terhadap khabar angin yang mengatakan bahawa beliau akan meninggalkan parti itu.

"No komen buat masa ini, tapi yang pasti saya dan anak-anak muda yang mendukung prinsip keadilan tetap teruskan perjuangan sama ada dengan jawatan atau tidak," menurut beliau dalam satu mesej yang dihantar melalui sistem pesanan ringkas kepada FMT hari ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Chegu Bard menyatakan pendirian beliau untuk menolak semua jawatan yang kemungkinan akan ditawarkan kepada beliau oleh kepimpinan pusat PKR nanti.

"Saya dah tetap pendirian tolak keputusan pemilihan, tolak semua jawatan lantikan dan terus berjuang," tulis beliau dengan ringkas.

Bagaimanapun khabar angin ini semakin heboh diperkatakan apabila Chegu Bard dikatakan gagal dihubungi sama ada oleh media mahupun oleh teman-teman rapat beliau sejak awal minggu ini.

Sementara itu, bekas pengurus kempen Chegu Bard, Zulkifli Ibrahim pula memberitahu FMT, beberapa teman rapat mereka turut mengadu akan kesukaran untuk menghubungi Chegu Bard akhir-akhir ini.

Bagaimanapun Zulkifli juga memberitahu beliau sempat bertemu Chegu Bard dalam satu program bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Simpang Ampat, Nibong Tebal baru-baru ini.

Teruskan perjuangan

Menurut Zulkifli, Chegu Bard ketika itu hanya meminta teman-teman dan anak-anak muda lain agar meneruskan perjuangan dan enggan mengulas panjang tentang khabar angin itu.

"Saya juga ada bertanyakan tentang khabar angin itu dengan dia. Tapi Chegu Bard semacam tidak mengiyakan atau menafikan desas- desus itu. Cuma beliau ada berpesan agar rakan-rakan anak muda tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangan.

"Tapi jelas apa yang saya lihat, Chegu Bard tidak menunjukkan tanda-tanda seorang yang patah semangat walaupun telah ditewaskan dengan cara penipuan semasa pemilihan," katanya lagi.

Sementara itu, Zulkifli turut meragui kenyataan pemimpin-pemimpin parti bahawa siasatan tentang penyelewengan dalam pemilihan tetap dijalankan meskipun kongres parti telah berakhir.

"Sebelum ni seorang saksi dari Sabah telah bertemu dengan salah seorang calon Naib Presiden. Kemudian saksi tersebut telah dibawa ke ibu pejabat untuk memberi keterangannya.

"Tetapi malangnya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) enggan mengambil kenyataan saksi tersebut dengan alasan pada ketika ini parti haruslah menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Umum ke 13," ujar Zulkifli lagi.

"Malahan sesiapa yang ada ketika pengundian dengan mengangkat tangan untuk jawatan Pengerusi Tetap AMK dijalankan dalam Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) pasti nampak penipuan mereka," kata Zulkifli.

Tiada ulasan: