Khamis, 9 Disember 2010

SPDP kekal 8 calon pilihan raya negeri

WilliamM-0055888Oleh Dhia Daniel

KUCHING: Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) akan mengekalkan semua lapan calonnya pada pilihan raya negeri yang akan datang, kata Presidennya William Mawan Ikom.

Beliau bagaimanapun berkata, pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) berhak untuk menentukan calon sesebuah kawasan itu sekiranya mereka mendapati terdapat maklumat bahawa peluang BN untuk menang di kawasan berkenaan adalah sukar.

Menurutnya, tidak semestinya setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu akan mempertahankan jawatan masing-masing kerana ia bukan milik sesuatu individu sebaliknya kerusi berkenaan adalah milik BN.

"Selain itu, SPDP juga bersetuju untuk mengikut pendekatan baru yang diamalkan parti iaitu dengan memilih calon yang mempunyai potensi untuk menang di sesuatu kawasan itu tanpa mengira kedudukannya,” katanya di sini hari ini.

Ketika ini, SPDP diwakili lapan ADUN yang terdiri daripada Mawan (Pakan), Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Peter Nyarok Entrie (Krian), Wong Judat (Meluan) dan Rosey Yunus (Bekenu).

Selain itu, SPDP turut diwakili Slyvester Entri Muran (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Nelson Balang Rining (Ba’Kelalan).

Kerja keras

Dalam pada itu, Mawan memberitahu, BN Sarawak terutamanya SPDP akan bekerja keras untuk menangani kempen pembangkang yang ketika ini semakin tersusun.

Ujarnya, keadaan tersebut berbeza dari apa yang berlaku pada pilihan raya negeri pada 2006 kerana pembangkang telah membawa cara-cara berpolitik di Semenanjung ke negeri ini.

"Namun kita tidak akan membiarkan sahaja pembangkang terus memutar belit sesuatu isu kerana BN juga boleh melakukan perkara yang sama kepada mereka,” tegas beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya parti politik di Sarawak aktif mendaftarkan pengundi baru, Mawan berkata parti komponen BN di negeri ini telah memulakan langkah tersebut.

Ujarnya, BN menyedari bahawa tanggapan ramai yang mengatakan pihak pembangkang telah berjaya mendapat pendaftaran pengundi baru yang agak besar dan sebaliknya berlaku pada BN.

Namun tegasnya, BN tidak akan mendedahkan usaha pendaftaran itu walaupun parti telah memulakan usaha pendaftaran tersebut secara besar-besaran kerana ia sebahagian daripada strategi parti.

Tiada ulasan: