Khamis, 23 Disember 2010

Program Jelajah 1Malaysia lebih bersifat politik

SELANGOR KINI


SHAH ALAM - Pembangunan yang dicanang Perdana Menteri Najib Abdul Razak tertumpu kepada aspek material dan meminggirkan pembangunan jatidiri dan modal insan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, konsep 1Malaysia bersifat politik, dan kosong tanpa fokus kepada pembangunan rohani.

Sepanjang konsep 1Malaysia diperkenalkan, kegelinciran moral di kalangan remaja belia masih di paras membimbangkan.

Dr Halimah berkata, Program Jelajah 1Malaysia nampaknya tidak memberi penekanan kepada pembentukan insan yang matang, bertanggungjawab dan berfikiran kritis, komponen utama dalam pembentukan negara yang harmoni, demokratik dan berdaya saing.

“Itu bukan target mereka sebenarnya, tujuan utama jelajah 1Malaysia adalah tujuan politik Umno-Barisan Nasional (BN), bukan untuk mengurangkan gejala sosial yang melanda belia di Malaysia, sasaran mereka tidak akan tercapai sebab itu bukan tujuan sebenar mereka,” katanya.

Dr Halimah menjelaskan, program jelajah 1Malaysia berbeza dengan program Generasi Idaman Selangor atau GeMS yang diwujudkan sebagai komponen penting dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Program GeMS mensasarkan pembangunan belia yang maju, dengan kesedaran moral yang tinggi dan peka kepada keperluan masyarakat dan negara.

“Sedangkan jelajah GeMS adalah khusus untuk menangani gejala sosial, perancangan kita, perbincangan kita berkisar di atas gejala sosial, sedangkan 1Malaysia ini untuk mengetengahkan agenda-agenda Umno-BN,” jelasnya.

GeMPS adalah program yang menjadi taruhan Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha menangani masalah gejala sosial di kalangan belia di Selangor.

Dr Halimah berkata, program GeMS anjuran kerajaan negeri mengajak semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, pimpinan masyarakat, untuk sama- sama berganding bahu memainkan peranan mengekang gejala tidak sihat dikalangan muda mudi masa kini.

Program ini juga membabitkan penglibatan artis serta ikon belia bagi membantu memberi kesedaran kepada komuniti remaja ini.

Tiada ulasan: