Jumaat, 24 Disember 2010

Pertambahan penduduk, jumlah penagih turut meningkat

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Pertambahan penduduk seramai lima juta orang menjadi faktor Selangor mencatatkan peningkatan bilangan penagih dadah paling tinggi bagi Januari sehingga Jun 2010 apabila seramai 1,479 kes dilapor berbanding hanya 130 kes tahun lepas.

Ia merupakan peningkatan 1,037.69 peratus.

Menurut pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Alias Jaafar jika peningkatan ini bersandarkan kepada jumlah pertambahan penduduk Selangor, ia bukanlah sesuatu yang membimbangkan jika dibandingkan dengan negeri seperti Perlis.

“Penduduk Selangor saya dengar ada lima juta lebih, maknanya angka ini adalah munasabah, nak banding dengan Perlis dengan beberapa ratus ribu sahaja, jadi maknanya perkara ini tak timbul masalah,” katanya.

“Bila Selangor ini diiktiraf sebagai negara maju, maka secara tidak langsung mana ada negara maju yang tidak ditimpa masalah sosial, maknanya perkara ini akan berlaku seolah-olah seperti satu pusingan,” katanya lagi.

Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Zulkarnain Mohammad, meminta semua pihak perlu bekerjasama bagi membenteras peningkatan penggunaan dadah sintetik yang semakin meningkat.

“Dalam tempoh 2010 ini, AADK cuba mendidik masyarakat supaya sedar peranan masing-masing, sebab kalau kita tengok dalam persoalan dadah sahaja, AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin Kastam juga memainkan peranan.

“Tetapi secara total apabila kita bercakap persoalan dadah ini, adalah tanggungjawab agensi-agensi kerajaan tanpa bertanya kepada diri kita, apa tanggungjawab ibu bapa, ahli keluarga dan juga pemimpin masyarakat untuk membantu agensi anti dadah ini dalam menangani permasalahan dadah.

“Kita sedaya upaya untuk mengurangkan permintaan, jika kurang permintaan maka kuranglah supply, kita kurangkan jumlah penagih baru dan situasi ini akan berjaya kita kawal dan usaha yang besar kita akan terus menghapuskan musuh nombor satu negara ini,” jelasnya.

Tiada ulasan: