KUCHING: Para penduduk penempatan semula empangan Bakun yang bosan dengan keadaan jalan raya yang rosak akibat lori-lori balak sejak sedekad yang lalu, mengadakan demonstrasi minggu sudah.
Lebih 100 penduduk menghalang perjalanan beberapa buah trak yang mengangkut kayu balak dari menggunakan jalan raya di Pusat Penempatan Semula Bakun di Sungai Asap, Belaga, Rabu lalu.
Para penduduk itu yang dibebankan dengan masalah kekurangan aktiviti ekonomi dan lain-lain setelah berpindah dari tanah nenek moyang mereka, bertindak sendiri setelah aduan kepada kerajaan dan syarikat-syarikat balak tidak dipedulikan.
Diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Masyarakat Bakun, Dr Ellie Luhat, para peneroka itu membawa poster dan sepanduk yang berbunyi: Kerajaan Bina, Tauke Rosakkan: Kami, rakyat merana.
Apa jadahnya?" Sepanduk lain berbunyi: "Pembalakan haram buat jalan Bakun perangkap maut".
Ellie berkata, tindakan syarikat-syarikat balak ini menggunakan jalan raya untuk kepentingan mereka telah menyebabkan kerosakan teruk, kerugian besar dan kesengsaraan yang tidak terhingga terhadap rakyat.
"Apa yang telah mereka lakukan seperti menjahanamkan apa yang kerajaan telah bina untuk para peneroka dan tindakan mereka merugikan dana dan wang kerajaan.
Tempoh dua minggu
"Kami beri mereka tempoh dua minggu untuk memperbaiki jalan itu," kata Ellie, menambah bahawa protes mereka sebagai langkah awal perjuangan dan tindakan selanjutnya.
Menyifatkan tindakan syarikat-syarikat pembalakan sebagai perosak, beliau berkata, "akan ada lagi demonstrasi. Kami tidak mempunyai apa-apa di sini dan akan lakukan apa yang boleh bagi membetulkan keadaan ini."
"Kami mahu membantu kerajaan menyelesaikan masalah satu dekad yang lampau," katanya, menambah bahawa beliau bertemu dengan beberapa pemimpin politik termasuk Perdana Menteri Najib Tun Razak berhubung perkara ini.
Ellie berkata, rakyat sangat terseksa dan hilang warisan budaya, tanah pertanian, pokok buah-buahan dan tanah "temuda" mereka untuk memberi laluan kepada pembinaan empangan Bakun.
Beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah mereka dan salah satu tindakan segera yang perlu diambil ialah memperbaiki jalan raya yang rosak.
Para peneroka yang ditempatkan semula itu terpaksa menggunakan jalan alternatif yang berbahaya yang mengakibatkan berlakunya beberapa kemalangan," katanya. "Kami tidak mahu dilayan secara yang berbeza. Tidak boleh ada "double standard".
Ellie berkata mereka sangat mengharapkan supaya jalan raya itu diperbaiki dalam tempuh dua minggu kerana Hari Krismas semakin hampir dan ramai yang akan kembali ke kampung halaman mereka dengan menggunakan jalan raya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan