KEPALA BATAS — Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang meskipun dikenakan hukuman digantung enam bulan dari menghadiri sidang Parlimen.
Pendirian itu diputuskan pada mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di sini, petang ini.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menggulung perbahasan Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua petang ini.
“Kami sudah putuskan dalam mesyuarat tadi, walaupun sekarang DAP ada lebih kerusi tetapi Anwar (gambar) akan tetap kekal sebagai Ketua Pembangkang,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.
DAP mempunyai 29 kerusi di Dewan Rakyat manakala PKR pula 24 dan PAS 23.
Pada Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menggantung Anwar dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang daripada persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa APCO.
Usul untuk menggantung Anwar diluluskan tanpa sebarang perbahasan apabila kesemua anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengemukakan usul kedua, untuk menggantung tiga yang lain, iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.
Dewan Rakyat akan bersidang semula Mac depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan