Munah Jusoh (tengah) memotong pulut kuning berbentuk angka 100 sambil dikeremuni anak dan cucunya ketika meraikan ulang tahun kelahiran ke-100 di rumahnya di Kampung Lubuk Besar, Kangar semalam. - Foto Bernama
Munah, berasal dari Padang Lati di sini dilahirkan pada 20 Disember 1910.
“Tok pernah jadi mak andam dan pernah mengikut pengantin ke serata ceruk Tanah Melayu.
“Tok juga pernah berniaga kain baju, barang kemas, periuk belanga dan beras yang dibeli dari pekan Padang Besar dengan keretapi untuk dijual kepada penduduk,” katanya.
Menurutnya, waktu persekolahan pada zaman kecilnya bermula dari pukul 8 pagi sehingga 1 tengah hari dan sekolah ditutup pada Ramadan.
Munah belajar di Sekolah Melayu Jalan Alor Sena sehingga tahun empat. Dia berkahwin dengan Daud Jusoh tanpa dikurniakan anak. Daud meninggal dunia pada 1990.
Munah berkata, semasa usianya belasan tahun, beliau pernah membanting tulang membantu keluarganya menanam padi dan menoreh getah. Katanya, pada zaman pendudukan Jepun, dia terpaksa makan ubi kayu rebus dan memakai pakaian diperbuat daripada kain guni.
Munah yang masih mempunyai daya penglihatan yang baik, gemar menonton filem lakonan allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Beliau menyifatkan P. Ramlee begitu istimewa dan pernah bertemu dengan seniman itu semasa mengadakan persembahan di Kangar pada awal tahun tujuh puluhan.
Munah telah mengerjakan haji sebanyak tiga kali dengan kali pertama menggunakan perkhidmatan kapal laut dengan bayaran RM1,400 manakala kali kedua dan ketiga menaiki kapal terbang.
Ditanya tentang rahsia umur panjang, Munah berkata ada orang mendakwa rahsianya di sebalik rajin membaca ayat-ayat suci al-Quran setiap selepas solat.
Dia berkata, mungkin amalan itu menjadikannya sentiasa sihat dan mampu menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 semalam.
Munah memotong pulut kuning berbentuk angka 100 pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannnya yang disaksikan oleh kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada penduduk kampung, sanak saudaranya dan para pembesar negeri.
Turut hadir pada majlis itu di kediamannya di Kampung Lubok Besar dekat sini ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan