Jumaat, 17 Disember 2010

"Mereka mahu Speaker tunda penggantungan" – Nazri


nz azizOleh Muda Mohd Noor

PARLIMEN KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membuat kecoh dalam persidangan hari ini kerana mereka mahu Speaker menunda keputusan menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri sidang dewan selama bulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, "apa yang mereka buat adalah untuk menggagalkan keputusan menggantung Anwar. Dia mahu Speaker tunda ke tahun depan, itu yang dia nak.

"…Sama seperti kes liwat dia (Anwar). (Tetapi) Saya sudah tahu gerak geri dia," kata beliau dalam satu sidang media di lobi parlimen hari ini.

Anwar digantung daripada menghadiri sidang dewan selama enam bulan kerana mendakwa One Israel sama dengan 1 Malaysia.

Tiga lagi ahli parlimen pembangkang – Azmin Ali (PKR – Gombak); R Sivarasa (PKR – Subang) dan Karpal Singh (DAP – Bukit Gelugor) turut digantung selama enam atas beberapa kesalahan.

Nazri juga menjelaskan, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah mengikut semua peraturan mesyuarat dalam mengendalikan sidang Dewan Rakyat.

Speaker ikut peraturan mesyuarat

"Apa yang mereka lakukan amat memalukan. Pembangkang dakwa Speaker berat sebelah tetapi dia ikut semua peraturan mesyuarat," katanya lagi.

Menurutnya, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tidak mempunyai hak menghukum sebaliknya hanya mengumpulkan maklumat.

Maklumat itu akan dibawa kepada Majlis Parlimen untuk pendakwaan sebelum diserahkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk membuat keputusan.

"Mereka, khususnya diberi kesempatan malah pada bulan April diberi masa seminggu untuk memberi penjelasan atau tarik balik tuduhan tetapi dia tidak buat.

"Dalam sesi kedua, masih ada kesempatan tetapi dia tidak buat. Sesi ketiga juga dia tidak buat. Segala apa yang kita cakap dia tidak mahu dengar kononnya kita takut kerana ada kuasa minoriti tetapi mereka silaplah," katanya.

Mereka bukan YB tapi penipu

Ketika mengulas mengenai pelekat yang dibawa masuk ke dalam dewan, Nazri berkata ia tidak boleh dibawa tanpa kelulusan Speaker.

"Mereka bukan YB tetapi penipu. Bawa masuk cara penipu," katanya. Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat membawa pelekat kelihatan ke dalam dewan semasa perbahasan hari ini.

Walaupun Anwar dan tiga lagi digantung selama enam bulan dari menghadiri sidang dewan, Nazri berkata mereka masih mendapat elaun sebagai ahli Parlimen.

Nazri juga menjelaskan keputusan Speaker tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana parlimen seperti mahkamah merupakan badan bebas.

"Kalau bawa ke mahkamah pun, saya yakin mahkamah akan tolak," katanya. Nazri juga menafikan dia memberi arahan kepada Speaker sebagaimana didakwa ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: