Rabu, 1 Disember 2010

MBI jual dua bidang tanah RM438 juta kepada Permodalan Negeri Selangor

BERNAMA

SHAH ALAM– Pemerbadanan Menteri Besar, syarikat induk anak-anak syarikat kerajaaan negeri Selangor, hari ini menjual dua bidang tanah bernilai RM438.5 juta kepada Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB).

Tanah yang dijual kepada PNSB itu terletak di Bukit Beruntung berkeluasan 510.4ha berharga RM333.5 juta manakala tanah di Bestari Jaya dengan keluasan 528.2ha dijual dengan harga RM105 juta.

Bercakap selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tanah itu dijual kepada PNSB yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri pada harga asal.

Beliau berkata MBI memperoleh dua bidang tanah itu daripada Talam Corporation Bhd (Talam) sebagai penyelesaian kepada hutang syarikat itu kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri yang bernilai RM392 juta.

Abdul Khalid berkata keseluruhan aset yang diperoleh daripada Talam, termasuk dua bidang tanah yang dijual kepada PNSB untuk penyelesaian hutang itu, ditaksirkan bernilai RM422 juta setelah ditolak hutang Talam dengan institusi-institusi kewangan berjumlah RM266 juta.

Beliau berkata PNSB telahpun mendapat tawaran daripada beberapa syarikat untuk membangunkan tanah di Bukit Beruntung itu secara usahasama.

Oleh itu, PNSB diarahkan untuk menubuhkan satu pasukan termasuk Majlis Daerah Hulu Selangor bagi mengadakan perancangan pembangunan bercampur-campur di sana, katanya lagi.

Abdul Khalid berkata penyelesaian hutang Talam kepada anak-anak syarikat negeri bukan satu “bail out” kerana hutang-hutang Talam tidak dilupuskan malah dicatat sebagai hutang dalam akaun negeri.

Talam juga telah bersetuju dan menyerahkan beberapa asetnya kepada kerajaan negeri sebagai pembayaran, katanya.

Tiada ulasan: