SHAH ALAM: Timbalan Presiden Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masih wujud sikap negatif seperti sombong yang harus dikikis dari kalangan pemimpin komponen parti jika mahu mendapat sokongan rakyat.
"Selain itu, kita juga dikatakan tidak bersungguh-sungguh dan lambat menyelesaikan masalah rakyat. Ada yang masih menjadi halangan dan ini perlu diberi tumpuan oleh BN.
"Cara dan bagaimana…… masalah ini hendaklah di atasi secepat mungkin," katanya selepas merasmikan Majlis Taklimat BN di sini semalam.
Timbalan perdana menteri itu berkata, adalah penting untuk mengukuhkan kerjasama dan perpaduan di semua peringkat di kalangan komponen-komponen parti dalam BN.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, nasib BN akan ditentukan oleh pengundi tetapi nampaknya pembangkang yang lebih ramai mendaftar pengundi baru.
"Oleh kerana itu saya minta jentera kita bekerja keras untuk mendaftarkan lebih ramai pengundi baru yang berjumlah empat juta orang," ujar beliau.
Muhyiddin berkata, program yang menyentuh hati rakyat perlu dianjurkan selain perlu mengetahui apa yang berlaku di kawasan masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan