Ahad, 12 Disember 2010

LZS: Semak semula bantuan asnaf

SUARA SELANGOR


SHAH ALAM - Kira-kira 20 peratus daripada 600 penerima bantuan bulanan asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), tidak layak menerima bantuan.

Pada lawatan kali ini, kita akan semak siapa yang layak dan siapa yang tikdak untuk diteruskan bantuan dengan melihat gaya hidup dan status mereka, kata Ketua Operasi LZS Daerah, Gombak, Muhammad Rizal Shah Harudin.

“Jumlah itu dikenal pasti sejak pihak kami menjalankan semakan semula ke rumah penerima bantuan sejak Oktober lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan lawatan mengejut kakitangan LZS ke 40 rumah penduduk di kawasan ini bagi proses penilaian.

“Sekiranya mereka mampu untuk membayar bil bulanan Astro, mahupun kereta baru, bermakna mereka tidak layak menerima bantuan, katanya.

Tambahnya lagi, sehingga akhir bulan ini pihaknya akan menyelesaikan semua proses penilaian bantuan dan bagi mereka yang layak, surat pemberitahuan akan dikeluarkan.

“Kepada golongan asnaf yang layak, Januari nanti bantuan akan disambung semula,” jelasnya.

Terdahulu, menurut Penolong Ketua Operasi LZS Daerah Gombak, Muhd Salahuddin Azmi Muhd Ali, seramai 319 asnaf fakir dan miskin di kawasan Daerah Gombak Barat menerima Bantuan Agihan Pendidik pihak LZS, berjumlah RM285,100.

Malah seramai 870 pelajar asnaf di Daerah Gombak menerima sumbangan pakaian sekolah.

“Peruntukan ini khusus untuk persekolahan anak mereka bagi meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan sekolah hujung tahun ini,” katanya pada majlis Bantuan Agihan Pendidikan Peringkat Daerah Gombak 2011 yang dirasmikan Muhammad Rizal di Masjid Nurul Iman, Rawang, di sini.

Tiada ulasan: