Jumaat, 24 Disember 2010

Konvensyen Pakatan Rakyat: Program, Halatuju dan Mekanisme

Chen Shaua Fui

"Buku Jingga" yang menjanjikan "Program 100 Hari Pakatan Rakyat" menjadi tumpuan. Jelas, Konvensyen Pakatan Rakyat yang melabuh tirai pada 19 Disember lalu berjaya menyatukan anggotanya dalam suasana yang "amat memberangsangkan", dengan dasar alternatifnya dan sasarannya yang sehala - mengarah ke musuh di luar.

Sesungguhnya, janji PR yang lebih "konkrit" memperlihatkan tekad PR untuk memerintah. Namun, sepanjang perjuangan PR menuju ke Putrajaya, dasar yang lebih terperinci, mekanisme dalam PR, nilai terasnya dan lain-lain masalah masih menjadi tanda soal yang belum terjawab.

Kerjasama berbeza di peringkat berlainan

Ketika Pakatan Rakyat dibentuk pada 1 April 2008, ramai yang tidak menaruh keyakinan bahawa PR boleh bekerjasama. Malah, BN mengambil kesempatan untuk mengumpan PAS dengan "perpaduan umat Islam" - cubaan untuk memecah-belahkan antara DAP dengan PAS, di samping serangannya ke atas integriti PKR. Bagaimanapun, ketiga-tiga parti ini tidak terperangkap apabila mencapai muafakat dalam isu penggunaan kalimah "Allah" pada awal tahun ini.

Hubungan erat dalam PR boleh diperlihatkan apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh (gambar kanan) berani untuk menegur disiplin PKR dan menyentuh isu Negara Islam dengan nada yang ringan. Ia mencerminkan keyakinan yang ada pada Karpal untuk membincangkan isu ini secara terbuka, dan yakin bahawa ia tidak akan mencungkil ketidakpuasan rakan seperjuangannya.

Malah, hubungan pemimpin garis kedua dan ketiga juga agak rapat, apabila ramai wakil rakyat PR yang bersembang dan merokok bersama di luar ketika masa rehat tengah hari.

Ketika ditanya bahawa Konvensyen ini tidak membincangkan "kerjasama antara tiga parti" dan kekurangan yang sedia ada, Ketua DAPSY Anthony Loke berkata, ketika PR dibentuk, ia lebih bertunjangkan kerjasama peringkat Pusat. Maka hubungan kerjasama antara pemimpin pusat adalah lebih erat. Kemudian, kerjasama antara pemimpin PR di negeri di bawah pemerintahan PR, seperti Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Untuk negeri yang belum ditubuhkan kerajaan negeri PR, hubungan kerjasamanya dibina dengan perlahan.

Oleh itu, beliau menyarankan agar Kovensyen PR diadakan di peringkat negeri untuk memantapkan kerjasama antara tiga parti.

Mekanisme PR terabai

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution pula berkata, konvensyen ini diadakan pada saat-saat menjelang PRU, yang bakal diadakan bila-bila dari sekarang. Oleh itu, konvensyen ini perlu menumpukan perbincangan dalam perkara halatuju PR, mengolahnya secara terperinci dan memfokus kepada Dasar Pakatan Rakyat.

Meskipun mengakui bahawa PR kurang memberi tumpuan terhadap memperkasa makanisme PR, misalnya komunikasi antara tiga parti, Saifuddin (gambar kiri) berkata PR boleh membincangkan isu operasi Sekretariat PR, seandainya PRU diadakan tiga atau empat tahun kemudian.

"Tapi, tiada masalah di peringkat pusat. Majlis Tertinggi PR dan sekretariat PR bermesyuarat setiap minggu. Namun banyak lagi kelemahan di peringkat negeri dan bahagian, misalnya bagaimana untuk berkomunikasi, line of command... Mereka hanya bekerjasama ketika mengadakan ceramah," jelasnya kepada MerdekaReview.

Beliau menyambung, "Namun apabila sampai ke peringkat merangka agenda, seperti memantapkan jentera pilihan raya, aktiviti berkempen, menyediakan maklumat dan sebagainya, anda boleh melihat banyak lagi ruang untuk diperbaiki."

Sehala menyasarkan musuh luar

Menurut pengamatan wartawan, pembahas dalam konvensyen lebih cenderung untuk mengkritik kesilapan BN dan mengemukakan dasar alternatif PR. Ketika membicarakan isu dalam konvensyen yang bertemakan "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!", PR cuba merangkumi semua lapisan masyarakat - dari golongan bawah hinggalah pelajar, profesional dan cendekiawan - meningkatkan pendapatan isi rumah minima RM4000 setiap keluarga, menyelesaikan kemelut PTPTN dan sebagainya.

Hanya Jayabalan (gambar kanan) dari DAP Perak menyentuh kelemahan PR ketika memerintah Perak. Biarpun mengakui kerajaan negeri PR Perak menunjukkan prestasi yang baik sebelum ini, namun beliau menganggap masih ada kekurangan dalam menangani masalah komuniti India, misalnya mengiktiraf pemimpin India. Jayabalan memberi contoh, PR tidak menukarkan nama Jalan Silibin kepada Jalan P Pato ketika memerintah, pada masa yang sama, mereka gagal menarik sokongan kuasa ketiga. Jayabalan menggesa agar PR membuka pintu untuk penyertaan NGO seperti Makkal Sakhti untuk mendapat sokongan mereka.

Selain itu, Konvensyen PR kali ini menumpukan isu pokok negara, iaitu situasi ekonomi dan bagaimana dasar kerajaan Barisan Nasional membebankan rakyat, kata Anthony Loke. Anggota PR yang menyertai Konvensyen perlu dimaklumkan apakah "ubat" untuk menyelamatkan Malaysia. Ini menjelaskan mengapa PR mencadangkan agar tol dihapuskan untuk meringankan beban rakyat, katanya.

Saifuddin Nasution pula menambah, imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 sebulan dan RM1000 kepada warga emas setiap tahun merupakan dasar-dasar yang boleh dilaksanakan dari kaca mata PR.

Dasar yang selaras

Bagaimanapun, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw yang lebih kritikal terhadap Konvensyen ini, menyifatkannya lebih kepada "konvensyen motivasi". Hu Pang Chaw berkata, sepanjang tiga tahun ini, parti berpegang kepada teras nilai yang masing-masing, PKR dengan Ketuanan Rakyat-nya, DAP dengan Malaysian Malaysia-nya dan PAS dengan nilai Islam-nya, dan mereka mencari persamaan dalam perbezaan.

Pada hakikatnya, PR belum lagi menyelaraskan dasar-dasar di negeri pemerintahan mereka sepenuhnya. Dasar mungkin tidak banyak berbeza antara Selangor dan Pulau Pinang, misalnya kedua-dua kerajaan negeri ini sedang menuju ke arah penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, pilihan raya tempatan, pembidaan terbuka dan sebagainya. Antaranya, prestasi Selangor lebih menojol dalam reformasi Dewan Undangan Negeri. Ia dapat diperlihatkan apabila SELCAT yang ditubuhkan menjalankan siasatan terhadap penggunaan peruntukan ADUN, skandal kecurian pasir, BALKIS dan sebagainya.

Kedah dan Kelantan pula mempunyai dasarnya yang tersendiri. Kuota perumahan 50% kepada bumiputera di Kedah mencungkil pertikaian sebelum ini, malah Kedah dan Kelantan belum mengambil langkah yang penting ke arah penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.

Selain itu, pengisytiharan harta EXCO Selangor dilihat tidak cukup "ikhlas", namun Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan juga tidak mengambil langkah ini.

Seorang peserta Konvensyen memberitahu MerdekaReview, beliau gagal melihat dasar PR yang jelas di negeri yang dikuasai PR. "Senang saja, Pakatan Rakyat perlu memaklumkan saya, apakah perubahan dalam kehidupan saya apabila Pakatan Rakyat memerintah? Apakah dasar pendidikan Pakatan Rakyat misalnya?"

Think-Tank

Hu Pang Chaw berkata, ketika Mahathir Mohamad memerintah, beliau mempunyai satu kumpulan think-tank yang terdiri daripada 400 orang yang muda. Mereka memanggil mesyuarat untuk membincangkan dasar ekonomi, dan boleh berdebat dengan Mahathir dalam mesyuarat tersebut, sebelum menentukan dasar negara.

Beliau berkata, PR gagal menampilkan dasar mereka, misalnya, apakah dasar pendidikan PR? Sebaliknya, kelangsungan PR lebih bergantung kepada isu BN. Sudah tiga tahun PR memerintah, mekanisme yang sempurna masih belum terbina. Bagaimana PR meyakinkan rakyat bahawa mereka boleh mentadbir negara, tanya Hu Pang Chaw.

Hu pang Chaw juga mencadangkan agar PR melantik think-tank di luar PR untuk merangka dasar PR, kemudian dibawa untuk perbincangan barisan pemimpin muda - yang bakal mengenalpasti sama ada dasar tersebut mampu menggarap imaginasi orang muda. Kemudian, dasar ini dibawa untuk diluluskan dalam Majlis Tertinggi Pimpinan PR.

Beliau menekankan bahawa think-tank ini harus terdiri daripada "orang luar" (bukan anggota PR), kerana lebih jelas tentang keadaan. Malah, pemimpin PR mempunyai keterbatasan sendiri ketika memikirkan dasar. Oleh itu, dengan cadangan daripada think-tank yang berbeza, barulah PR boleh mengemukakan dasar yang mampu menyaingi BN, katanya.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 21 Disember 2010.

Tiada ulasan: