Selasa, 7 Disember 2010

Kes Khir Toyo: Pemimpin Pakatan gesa Najib buktikan BN serius

KUALA LUMPUR– Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menggesa pentadbiran Najib agar memastikan kes melibatkan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang dihadapkan di mahkamah hari ini dikendalikan dengan telus.

Kata beliau pendakwaan terhadap seseorang pemimpin tidak akan membuahkan sebarang hasil tanpa berbekalkan bukti dan fakta yang kukuh.

Justeru pemimpin PKR itu juga menganggap bahawa kes terhadap Dr Khir hanya taktik kerajaan BN untuk meraih sokongan undi dalam pilihan raya umum ke-13, tetapi berharap itu hanya spekulasinya semata-mata.

“Saya harap spekulasi ini tidak benar. Tetapi kalau BN benar-benar tidak ikhlas, saya rasa orang ramai tidak akan mudah melupakan kes ini,” kata Khalid kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Menteri Besar berkata, kerajaan perlu membuktikan bahawa kes-kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan orang berprofil tinggi juga dianggap sebagai kes jenayah.

Dr Khir yang merupakan bekas menteri besar Selangor kini memegang jawatan Ketua Pembangkang BN di negeri Selangor yang dikuasai kerajaan Pakatan Rakyat.

Dalam tulisan blog petang tadi, Dr Khir berkata beliau mahu melepaskan jawatan Ketua Pembangkang Selangor dengan serta-merta.

“Saya harap pihak berkuasa akan bersungguh-sungguh kerana tiada gunanya mendakwa seseorang tanpa siasatan terperinci. Pihak pendakwaan mesti membekalkan segala bukti rasuah dan penyalahgunaan kuasa demi membuktikan pihak mahkamah bebas daripada pengaruh ahli politik.

“Oleh itu, kes ini mesti dikendalikan dengan sebaik-baiknya,” kata Khalid.

Dalam pada itu, PAS menganggap pendakwaan ke atas Dr Khir mencerminkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jauh lebih lemah dalam memerangi rasuah berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata, pentadbiran Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah berani membuat pendakwaan ke atas Tan Sri Kasitah Gaddam ketika Kasitah masih lagi berstatus Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi sedangkan pentadbiran Najib mendakwa Dr Khir menggunakan kedudukan sebagai ketua kerajaan negeri tiga tahun lalu dengan membeli dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 Shah Alam selepas hampir tiga tahun Dr Khir menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Pak Lah tanpa (polisi) ETP (Pelan Tranformasi Ekonomi) pun berani mendakwa menteri bernama Kasitah tetapi Najib nampak lebih lemah kerana hanya berani mambuat pendakwaan rasuah kepada seseorang apabila tidak lagi menjadi nenteri besar di sebuah negeri yang kaya,” ujar Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Pendakwaan ke atas Dr Khir itu, menurut Mahfuz turut menyerlahkan kelemahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan pusat pimpinan BN.

Dr Khir merupakan pemimpin tertinggi kedua daripada kerajaan BN dihadapkan di mahkamah sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Sebelum ini, bekas presiden MCA dan bekas menteri pengangkuatan Tun Dr Ling Liong Sik dibawa ke mahkamah berhubung isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang.

“Ini juga menyerlahkan kelemahan SPRM sendiri yang bertindak ke atas seseorang yang tiada apa-apa jawatan.

“Cukup memalukan apabila pendakwaan ke atas Dr Khir ini seperti pendakwaan SPRM berhubung skandal rasuah di Zon Bebas Pelabuhan Klang sebelum ini apabila Tun Lim tidak lagi menjadi Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan,” kata beliau.

Dr Khir dihadapkan ke mahkamah sehari selepas BN mengadakan konvensyennya.

Dr Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Disebabkan itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengajak rakyat supaya tidak menaruh harapan yang tinggi kepada Najib dalam menangani beberapa lagi skandal rasuah berprofil tinggi yang lain.

“Kelemahan ini adakah memberanikan Najib untuk membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa selepas (penulis) Barry Wain mendedahkan sikap Dr Mahathir dalam (buku) ‘Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent’.

“Kelemahan ini adakah memberanikan Najib menyiasat anasir penyalahgunaan kuasa (berhubung) pemerdagangan minyak sehingga telaga minyak Blok L dan Blok M diserahkan kepada Brunei Darussalam tanpa suatu kelulusan dalam Dun dan Parlimen.

“Jangan harap Najib atau SPRM berani membawa skandal rasuah mengenai pembelian kapal selam ke mahkamah walaupun hari ini nama Malaysia disebut di mahkamah Perancis,” ujar Mahfuz lagi.

Oleh itu Mahfuz menyifatkan Program Tranformasi Kerajaan (GTP) yang dipopularkan Najib bukanlah satu program menangani rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan, tetapi lebih bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

“Kita dengar GTP tetapi kita tidak pernah dengar apakah polisi integriti serta cara menangani rasuah di sebalik apa yang dipopularkan Najib ini.

“Dahulu pun, kita pernah dengar Cemerlang, Gemilang dan Terbilang, akhirnya rakyat sendiri tambah ‘temberang’ di belakang slogan itu, selepas ini mungkin Najib akan digelar sedemikian kerana rakyat bosan melihat sandiwara politik di sebalik beberapa program tranformasi ini,” ujarnya Mahfuz lagi.

Tiada ulasan: